AM

PENDAFTARAN OKU AUTISME DI BAWAH JKM MENINGKAT LAPAN KALI GANDA SEJAK 2015

24/05/2026 02:40 PM

MELAKA, 24 Mei (Bernama) -- Jumlah pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) autisme di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meningkat sebanyak lapan kali ganda kepada 90,459 orang setakat 30 April lepas berbanding 2015.

Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata peningkatan angka berkenaan dipercayai ekoran keberkesanan program dan kempen kesedaran berkaitan autisme dalam kalangan ibu bapa yang giat dilaksanakan kerajaan menerusi kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).

"Kemungkinan pada 2015, telah ramai anak menghidap autisme, tetapi ramai yang masih belum memahami atau tidak sedar apa itu autisme sehinggalah kesedaran itu meningkat ekoran pelbagai program yang dilaksanakan.

"Selain itu, kerajaan telah mewujudkan Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA) Bangi, Selangor sebagai projek perintis yang membuka pendaftaran pada April lepas dan dijangka mula beroperasi pada Jun ini," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Asas Penjagaan Warga Emas dan OKU Zon Selatan bersempena dengan Program Ritma Kehidupan Harmoni (Rythm) yang turut dihadiri Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Melaka Datuk Kalsom Nordin.

Che Murad Sayang berkata kemudahan berkenaan diwujudkan untuk membantu dan meringankan beban ibu bapa mendapatkan rawatan atau terapi yang bersesuaian bagi anak mereka.

Beliau berkata PPA Bangi yang dikendalikan JKM dengan kerjasama NASOM dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Damansara Damai menyediakan program intervensi awal dan terapi pelbagai disiplin yang berstruktur untuk membimbing anak-anak autistik berusia dua tahun hingga 18 tahun.

Dalam pada itu, katanya, setakat 30 April, sebanyak 839,535 OKU direkodkan berdaftar di bawah JKM dan daripada jumlah itu, sebanyak 339,097 orang atau 40.39 peratus ialah kategori OKU pembelajaran yang mencatat pendaftaran tertinggi.

"Oleh itu, kerajaan akan terus memperkasakan penjagaan dan sokongan untuk golongan OKU bagi memastikan mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih berkualiti, berdikari dan inklusif selaras dengan aspirasi negara dalam membentuk masyarakat yang prihatin dan mesra OKU," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan