Oleh Nur Fadhliana Shaari dan Nur Faradilla Mohamad
JOHOR BAHRU, 24 Mei (Bernama) -- Program Jualan Kasih Johor (JKJ) kini menjadi tumpuan masyarakat di negeri ini untuk mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah, terutamanya sebagai persiapan menyambut Aidiladha minggu depan.
Sambutan memberangsangkan berkenaan secara tidak langsung menunjukkan inisiatif kerajaan negeri itu berfungsi sebagai “ruang bernafas” yang memberikan kelegaan kepada masyarakat di negeri ini dalam mengharungi tekanan kos sara hidup.
Tinjauan Bernama di Pasar Tani Bandar Baru Uda di sini mendapati ramai pengguna mengambil peluang membeli Set Kombo Kasih yang merangkumi barangan asas seperti seekor ayam, sepapan telur dan minyak masak dua liter pada harga RM15, iaitu penjimatan kira-kira 30 peratus bagi setiap pembelian.
Pesara kerajaan, Abdullah Din, 70, berkata dia bersama isteri datang ke lokasi jualan itu selepas mengetahui mengenai program berkenaan menerusi aplikasi TikTok.
“Set kombo yang ditawarkan ini jauh lebih murah berbanding harga pasaran dan program ini dilaksanakan pada waktu yang tepat iaitu menjelang Aidiladha,” katanya.
Petugas kesihatan, Mohd Faizal Samsudin, 43, pula berharap inisiatif JKJ diperluas ke lebih banyak lokasi supaya lebih ramai rakyat menerima manfaat dan penjimatan dalam mengurus perbelanjaan keluarga.
S. Nithya, 38, yang datang bersama ibu dan adik-beradiknya menyifatkan harga barangan ditawarkan seolah-olah mengimbau pengalaman membeli barangan pada harga lebih rendah suatu ketika dahulu.
“Baguslah ada JKJ ini sekurang-kurangnya kami dapat manfaat secara langsung. Tidak mengapa kena beratur awal pagi, asalkan dapat beli barang murah,” katanya yang juga pekerja swasta.
Suri rumah, Kamariah Ahmad, 60, pula melahirkan rasa syukur atas keprihatinan kerajaan negeri dan berharap agar usaha seumpama itu dapat diperbanyak termasuk menambah bekalan ayam kerana ia menjadi kegemaran anak-anaknya terutama untuk menyambut hari raya.
Sementara itu, di MERSING, seorang warga emas yang mengalami masalah penglihatan, Husin Ali, 76, dari Kampung Tenglu bersyukur kerana set kombo dibeli pada program JKJ di Pasar Tani Kekal, di sini mencukupi untuk menampung keperluannya dan isteri bagi tempoh setengah bulan.
Suri rumah dari Kampung Sungai Muka Dua, Norazimah Mohd Yasa, 51, dan pengawal keselamatan, Syed Haiqual Syed Mohamed, 35, turut senada menyifatkan program itu sebagai peluang keemasan untuk berjimat bagi mereka yang berpendapatan tidak menentu.
Bagi ibu tunggal Orang Kurang Upaya fizikal, Nora Mohd, 46, dia sentiasa menantikan dan datang ke program seperti itu meskipun jauh dari kediamannya di Kampung Wak Salam.
"Kadang-kadang walaupun kurang sihat, saya pergi juga sebab dapat jimat banyak. Pada harga RM15 dah boleh dapat tiga barang asas, kalau dekat tempat lain memang takkan dapatlah," katanya yang mempunyai tiga anak.
Norazimah Mohd Yasa, 51, yang datang menaiki motosikal dari Kampung Sungai Muka Dua berkata dia sentiasa peka terhadap hebahan program jualan murah berkenaan yang dimulakan sejak 2023 kerana perbezaan harga yang ketara membolehkan perbelanjaan bulanan dapur dapat dikurangkan.
“Pendapatan suami tidak menentu, jadi kami perlu lebih berjimat dalam perbelanjaan harian,” kata suri rumah itu yang memiliki tiga anak.
Bagi memenuhi permintaan yang tinggi menjelang musim perayaan ini, pelaksanaan JKJ bagi bulan ini dan Jun diteruskan dengan sasaran memanfaatkan sebanyak 750,200 keluarga, melibatkan lebih tiga juta penerima di seluruh negeri.
Ia melibatkan penawaran lebih 750,000 Set Kombo Kasih, selain jualan pelbagai barangan lain seperti sayur-sayuran, ikan serta produk industri asas tani pada harga berpatutan.
-- BERNAMA
