AM

AEON MALL KL MIDTOWN BAKAL DIMERIAHKAN LAGI DENGAN RAKAN RUNCIT

22/05/2026 11:07 AM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- AEON CO (M) Bhd (AEON) mengumumkan penyertaan beberapa rakan runcit utama yang akan memeriahkan lagi gedung AEON Mall KL Midtown, yang dijadual dibuka kepada orang ramai pada suku keempat tahun ini.

Gedung baharu yang terletak di kawasan KL Metropolis itu menandakan pusat beli-belah ke-28 AEON di Malaysia dan direka bentuk untuk meningkatkan lagi landskap peruncitan dan gaya hidup di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur.

Pengumuman itu dibuat semasa majlis "AEON Mall KL Midtown Hard Hat Party" yang diadakan di Hyatt Regency Kuala Lumpur, di sini, hari ini, yang menghimpunkan wakil daripada jenama yang mengambil bahagian, rakan niaga dan pihak berkepentingan.

Penyewa yang diumumkan pada acara itu termasuk Oriental Kopi, Dolly Dim Sum, Sushiro, Verrona Hills Bakery & Patisserie, KOMEHYO, Seiko Vision Specialist, Omakase Lab dan Luxe Hair & Nail, dengan peruncit seterusnya dijangka diumumkan menjelang pelancaran gedung tersebut.

Pengarah Urusan AEON, Tsugutoshi Seko berkata penyertaan kukuh daripada jenama terkemuka itu mencerminkan momentum pajakan yang positif dan keyakinan yang semakin meningkat terhadap projek tersebut.

"AEON Mall KL Midtown merupakan tambahan penting kepada portfolio kami ketika kami terus mengukuhkan kehadiran kami di kawasan pertumbuhan utama di seluruh Malaysia.

"Sambutan daripada rakan runcit amat menggalakkan dan ia menunjukkan keyakinan mereka terhadap kedudukan pusat beli-belah itu dan potensi jangka panjangnya di kawasan KL Metropolis," kata beliau dalam ucapannya semasa majlis tersebut.

Seko berkata sebagai pusat beli-belah pertama dalam pembangunan ini, AEON memberi tumpuan kepada pembinaan venue yang dapat menyediakan gabungan perkhidmatan kemudahan harian menyeluruh dengan pengalaman yang memberi makna kepada penduduk sekitar.

Semasa acara tersebut, hadirin dimaklumkan tentang kemajuan keseluruhan pusat beli-belah tersebut, termasuk hala tuju pajakan, strategi pemasaran, penyelarasan reka bentuk penyewa dan inisiatif penglibatan pelanggan.

Acara itu turut menampilkan lawatan tapak eksklusif, yang menyediakan pratonton awal pembangunannya kepada hadirin menjelang penyiapannya.  

AEON memaklumkan pusat beli-belah itu dijangka merancakkan lagi aktiviti runcit di kawasan tersebut, menyediakan pengalaman komersial dan gaya hidup yang lebih meriah di pusat bandar Kuala Lumpur.

Bagi maklumat terkini, orang ramai digalakkan untuk mengikuti perkembangan AEON Mall KL Midtown di akaun Instagram (@aeonmall.kl midtown).

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan