AM

SARAWAK ENERGY TANAM 300 POKOK DI PIASAU

20/02/2026 02:04 PM

KUCHING, 20 Feb (Bernama) -- Sarawak Energy dengan kerjasama Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menanam 300 anak pokok spesies tempatan di Rizab Semula Jadi Piasau, Miri pada 8 Feb, sekali gus memperkukuh komitmen jangka panjang terhadap kelestarian alam sekitar dan pemuliharaan biodiversiti.

Sarawak Energy dalam kenyataan hari ini memaklumkan usaha itu sebahagian daripada Kempen Penanaman, Perlindungan dan Pemulihan Habitat Pokok, yang menyasarkan penanaman dan perlindungan 500,000 pokok menjelang 2030.

Menurut kenyataan itu, kira-kira 30 pegawai kanan dan kakitangan Sarawak Energy menyertai program berkenaan yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Sharbini Suhaili.

Sharbini berkata inisiatif itu menyokong komitmen Sarawak Energy untuk memastikan pembangunan tenaga boleh baharu dilaksanakan dengan mengambil kira penjagaan ekosistem dan biodiversiti.

“Inisiatif ini mencerminkan tanggungjawab kami untuk memastikan pengurusan alam sekitar kekal sebagai sebahagian penting daripada perjalanan pertumbuhan Sarawak Energy.”

“Melalui usaha penghutanan semula dan pemulihan habitat yang berterusan, kami berhasrat untuk menyumbang secara bermakna kepada pemeliharaan khazanah alam semula jadi Sarawak yang kaya untuk generasi akan datang,” katanya.

Anak pokok yang ditanam termasuk spesies tempatan seperti kara, cempedak, terap, kasai dan pulur dipilih bagi menyokong pemulihan ekologi serta meningkatkan kepelbagaian habitat di dalam kawasan rizab tersebut.

Rizab Semula Jadi Piasau yang terletak di Miri merupakan kawasan perlindungan bandar yang penting dan terkenal dengan populasi burung enggang. Aktiviti penanaman ini menyumbang pengukuhan biodiversiti bandar dan menyokong usaha pemuliharaan yang berterusan di kawasan yang pesat membangun.

Setakat 26 Dis 2025, Sarawak Energy telah menanam lebih 247,000 pokok di seluruh negeri menerusi kempen berkenaan, termasuk lebih 58,000 pokok pada 2025, selangkah ke hadapan menuju sasaran menanam 500,000 pokok menjelang 2030.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan