AM

MURID TULAR BERENANG REDAH BANJIR SELAMAT, DITEMPATKAN DI ASRAMA SEKOLAH

02/12/2025 03:37 PM

KUANTAN, 2 Dis (Bernama) -- Murid yang berenang meredah banjir untuk ke asrama bagi menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang kejadian itu tular melalui media sosial kini berada dalam keadaan selamat. 

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang dalam kenyataan mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan murid berkenaan telah ditempatkan di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Lanar, Kuala Lipis dan bersedia menduduki peperiksaan bersama dengan calon lain. 

"Siasatan mendapati laluan keluar dari rumah murid tersebut dinaiki air dengan sangat cepat menyebabkannya terpaksa meredah air sebelum sempat dibawa ke asrama sekolah pada Sabtu lepas," menurut kenyataan itu.

JPN Pahang dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan kerjasama sekolah menengah berasrama di sekitar Lipis telah menyediakan pelan kontigensi awal dengan mengenal pasti bilangan murid yang tinggal di kawasan berisiko banjir dan menyediakan kemudahan asrama, walaupun mereka tidak tinggal di asrama. 

Menurut kenyataan itu, langkah berkenaan diambil dengan tujuan memastikan semua calon dapat menduduki peperiksaan SPM tanpa sebarang kesulitan.

PPD dan sekolah sentiasa memantau serta memastikan keperluan dan keselamatan calon untuk menduduki peperiksaan dengan sejahtera menjadi keutamaan pada musim tengkujuh ini. 

Dalam kenyataan sama, JPN Pahang menzahirkan penghargaan kepada pihak sekolah, PPD, pasukan keselamatan serta semua pihak yang memastikan perjalanan peperiksaan SPM dapat diteruskan dengan lancar demi kepentingan calon.

Sebelum ini, tular video memaparkan murid terbabit berenang meredah banjir untuk ke asrama dan mendapat pelbagai reaksi daripada warganet. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan