KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Kerajaan sedang melaksanakan beberapa langkah prapelaksanaan Dasar Pengurusan Pelarian (DPP) termasuk pembangunan sistem, prosedur operasi standard (SOP) dan infrastruktur yang diperlukan untuk proses penentuan status pelarian.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata persiapan itu selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No 23, yang menetapkan mekanisme baharu pengurusan pelarian mengikut undang-undang negara.
Beliau berkata antara tindakan yang sedang dijalankan ialah ujian sistem pendaftaran pelarian dan permohonan suaka yang dibangunkan bersama MIMOS Berhad, pembangunan pusat pengasingan pelarian dan pemohon suaka di Bidor, Perak serta pemuktamadan SOP penentuan status pelarian dan pindaan berkaitan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Arahan ini juga menetapkan bahawa semua pelarian di negara ini, sama ada memiliki atau tidak memiliki dokumen UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian), perlu melalui proses penentuan status yang dijalankan kerajaan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Shamsul Anuar menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang ingin tahu garis masa dan pelan pelaksanaan tepat bagi pengembangan DPP untuk memastikan pelarian berdaftar mengakses pendidikan serta kesihatan melalui pertubuhan bukan kerajaan atau institusi swasta.
Beliau berkata di bawah mekanisme baharu ini, kerajaan akan menggunakan DPP sebagai dokumen tunggal bagi mengesahkan status pelarian selain membolehkan maklumat biometrik direkodkan dalam sistem kerajaan untuk tujuan pemantauan dan penguatkuasaan.
Arahan MKN No 23 (Semakan 2023), katanya, turut memperinci peranan 20 kementerian dan agensi termasuk menyediakan akses pendidikan, kesihatan, perlindungan sosial serta peluang pekerjaan kepada pemegang dokumen pelarian.
-- BERNAMA
