EKONOMI

BUDI95: 13.9 JUTA RAKYAT NIKMATI PENJIMATAN PETROL, CATAT NILAI JUALAN RM5.16 BILION SEHINGGA 30 NOV - LIM

02/12/2025 12:28 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Seramai 13.9 juta rakyat atau lebih 84 peratus daripada 16.5 juta orang yang layak telah menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) sehingga 30 Nov 2025, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Beliau berkata dalam tempoh yang sama, BUDI95 turut merekodkan nilai jualan sebanyak RM5.16 bilion atau penggunaan petrol sebanyak 2.59 bilion liter.

“Kerajaan dijangka dapat menjana penjimatan RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun tertakluk kepada harga minyak dunia dan berdasarkan data survei penggunaan domestik sebelum pelaksanaan BUDI95.

“Julat penjimatan tersebut mengambil kira pelbagai senario harga minyak mentah global, iaitu antara US$60 hingga US$80 setong serta pelaksanaan penghapusan subsidi ke atas segmen yang tidak disasarkan seperti bukan warganegara dan pengguna komersial,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Dr Lingeshwaran R. Arunasalam mengenai penjimatan fiskal yang telah dicapai oleh kerajaan hasil pelaksanaan subsidi bersasar BUDI95 selepas sebulan program ini dilancarkan.

Memandangkan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 hanya bermula pada 30 Sept 2025, Lim berkata jumlah penjimatan tahunan hanya dapat dinilai mulai 2026.

“Bagi 2025, tumpuan akan terus diberikan kepada pemantauan serta penambahbaikan mekanisme pelaksanaan bagi memastikan sistem BUDI95 kekal stabil dan mesra pengguna untuk rakyat di samping membantu menangani ketirisan subsidi,” katanya.

Beliau berkata penjimatan yang dicapai melalui pelaksanaan penyasaran pelbagai subsidi termasuk BUDI95 telah membuka ruang fiskal yang lebih luas kepada kerajaan untuk dimanfaatkan demi kesejahteraan rakyat.

“Ruang fiskal tersebut turut memperkukuh keupayaan kerajaan dalam membiayai pembangunan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam di seluruh negara.

“Secara kesimpulannya, penjimatan dana negara melalui penyasaran subsidi membolehkan kerajaan memperuntukkan lebih banyak dana bagi agenda kebajikan, bantuan menangani kos sara hidup, pendidikan, kesihatan serta pelaburan bagi menyediakan prasarana rakyat yang berkualiti,” kata Lim.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan