KUALA PILAH, 12 Nov (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) berperanan sebagai rakan pendidik dalam usaha membentuk generasi muda berdisiplin serta berakhlak tinggi, terutama dalam mendepani pelbagai cabaran sosial masa kini.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata tanggungjawab PDRM bukan sekadar menguatkuasakan undang-undang tetapi turut berperanan membimbing masyarakat, khususnya generasi muda yang perlu dididik dengan semangat cintakan negara dan menghormati undang-undang.
Beliau turut menyeru golongan muda supaya menolak segala bentuk jenayah termasuk menentang budaya samseng, buli, vandalisme dan penyalahgunaan media sosial.
“Setiap tindakan mencerminkan nilai diri dan maruah keluarga. Oleh itu, pelajar perlu mematuhi disiplin sekolah, menghormati guru dan menjauhi segala bentuk salah laku,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan dan Pelancaran Program Sekolah Angkat MADANI PDRM Peringkat Kontinjen Negeri Sembilan Tahun 2025 di Sekolah Kebangsaan Ampang Tinggi di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Pendidikan Negeri Khalidah Omar.
Beliau berkata menerusi inisiatif Sekolah Angkat MADANI, PDRM dapat berganding bahu dengan institusi pendidikan dalam memperkukuh nilai sahsiah, disiplin serta keselamatan pelajar sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan keutuhan masyarakat.
Dalam pada itu, Alzafny berkata sebanyak RM100,000 diperuntukkan oleh Kementerian Kewangan bagi pelaksanaan program Sekolah Angkat MADANI yang bertujuan membantu meningkatkan kemudahan infrastruktur di sekolah berkenaan.
"Program sekolah angkat ini penting dalam mengabungkan semua pihak untuk membangunkan kemudahan sekolah demi keselesaan pelajar, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI," katanya.
-- BERNAMA
