KUALA TERENGGANU, 12 Nov (Bernama) -- Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu selesai menyelenggara 71 kenderaan termasuk aset marin dan darat sebagai persiapan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula pertengahan bulan ini.
Pengarah JBPM Terengganu Nur Mahathir Muhamad berkata sebanyak 1,083 petugas termasuk anggota dan pegawai juga telah disiapkan bagi tujuan pemindahan dan kerja-kerja menyelamat jika banjir berlaku.
“Pada mesyuarat jawatankuasa bencana terakhir 1 Nov lepas, kami telah pastikan pelan tindakan kecemasan sama ada logistik, aset dan sumber manusia berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya.
“Dari segi penubuhan Pasukan Gerak Cepat (PGC), kami telah buat lantikan komander operasi di setiap daerah dalam kalangan pegawai kanan JBPM,” katanya ketika ditemui di sini.
Selain itu, Nur Mahathir berkata pihaknya juga mengagihkan bot komuniti kepada pasukan bomba sukarela di Felda Bukit Bading di Hulu Terengganu, Felda Belara di Kuala Terengganu, Felda Neram 1 di Kemaman dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai di Marang sebagai persediaan awal.
Beliau berkata jika berlaku situasi luar jangka, JBPM juga telah bersedia dengan aset udara di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai untuk tujuan penyelamatan dan penghantaran bantuan ke kawasan yang terputus hubungan.
“JBPM juga akan bekerjasama dengan Jabatan Geologi untuk memantau kawasan cerun yang berisiko tanah runtuh.
“Justeru saya ingin mengingatkan orang ramai terutama di kawasan risiko banjir supaya peka dengan perkembangan cuaca dari semasa ke semasa. Patuhi arahan pihak berkuasa dan berpindah segera sekiranya keadaan semakin teruk,” katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini menjangkakan lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan sepanjang MTL dijangka bermula pertengahan Nov hingga Mac depan.
Selain itu, Jabatan Pengairan Saliran turut mengeluarkan amaran fenomena air pasang dan ombak besar di beberapa stesen daerah Kemaman dan Kuala Terengganu antara 8 hingga 21 Nov ini.
-- BERNAMA
