BUTTERWORTH, 11 Nov (Bernama) -- Penganjuran Konvensyen Kenegaraan MADANI 2025 menjadi platform penting untuk mendekatkan pelajar dan masyarakat dengan aspirasi serta nilai teras Kerajaan MADANI yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) Prof Madya Dr Adi Anuar Azmin.
Beliau berkata konvensyen berkenaan bukan sekadar program ilmiah, tetapi juga sebagai usaha memperkukuh kefahaman terhadap nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan yang menjadi tunjang Malaysia MADANI.
“Justeru, penting untuk setiap individu terutama generasi muda membina minda yang cemerlang, hati beradab dan jiwa berakhlak tinggi supaya Malaysia bukan hanya maju dari segi teknologi dan ekonomi, tetapi juga kukuh dari segi moral dan rohani,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri konvensyen berkenaan yang dirasmikan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Adi Anuar berkata Malaysia MADANI juga bukan sekadar tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya semua pihak termasuk pelajar, guru, masyarakat, institusi kerajaan serta institusi agama.
Beliau berkata konvensyen berkenaan pula adalah sebahagian daripada Program Dakwah Negara anjuran Yadim yang dilaksanakan di seluruh negara dan program susulan selepas peluncuran projek Masjid MADANI Permatang Pauh yang disempurnakan Anwar, Sabtu lepas.
Adi Anuar berkata selain pelajar tingkatan enam, pihaknya juga melihat kepentingan memperluas program berkenaan kepada pelajar tingkatan empat serta mahasiswa bagi membolehkan gagasan Malaysia MADANI difahami semua peringkat generasi muda.
“Kita (Yadim) telah mulakan program ini di Selangor, Kelantan dan Terengganu. Kita bukan hanya fokus terhadap pelajar tingkatan enam di sekolah kerajaan sahaja, tetapi juga pelajar pondok. Selepas ini kita akan ke Kedah dan Perlis bagi Zon Utara,” katanya.
Terdahulu, kira-kira 600 pelajar tingkatan enam dan warga pendidik dari sekolah di seluruh Pulau Pinang menghadiri konvensyen sehari itu yang turut mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
Bertemakan “Melestari Generasi MADANI”, antara pengisian konvensyen berkenaan ialah sesi wacana, pembentangan ilmiah serta forum MADANI.
-- BERNAMA
