AM

FIESTA UNITI@MUZIUM KOTA KAYANG USAHA MERAKYATKAN MUZIUM

01/11/2025 06:10 PM

KANGAR, 1 Nov (Bernama) -- Penganjuran program Fiesta Uniti @ Muzium Kota Kayang, Kuala Perlis yang berlangsung dua hari bermula hari ini dirangka khusus sebagai usaha merakyatkan muzium, iaitu menjadikan muzium sebagai ruang hidup mendekatkan rakyat dengan warisan, sejarah dan tamadun bangsa.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata fiesta itu memperlihatkan sinergi antara budaya, seni dan komuniti dengan pelbagai pengisian seperti pameran interaktif, persembahan tradisional, bengkel warisan, jualan produk tempatan dan aktiviti pendidikan untuk kanak-kanak. 

"Semua ini membuktikan bahawa muzium boleh menjadi ruang rakyat bersatu melalui pengalaman budaya bersama," katanya ketika berucap pada majlis perasmian fiesta itu dan Rumah Hijau, iaitu Rumah Keputeraan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Muzium Kota Kayang dekat sini hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan Tuanku Syed Sirajuddin dan turut berangkat hadir Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Aaron berkata pendekatan itu sejajar dengan aspirasi Kementerian Perpaduan Negara untuk membina Negara Bangsa melalui pemahaman sejarah, identiti nasional dan jati diri.

"Selain itu, penganjuran Fiesta Uniti di Muzium Kota Kayang ini turut menjadikan perasmian Rumah Hijau, iaitu Rumah Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis sebagai satu acara utama program. 

"Usaha yang dilaksanakan oleh Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perlis dalam mengangkat dan memulihara Rumah Hijau ini amat wajar dipuji, memandangkan nilai sejarah serta signifikan warisannya yang begitu tinggi kepada negeri dan negara," katanya.

Sementara itu, beliau berkata cabaran utama muzium kini bukan sekadar menjaga artifak tetapi mengubah persepsi masyarakat, justeru kementerian melalui JMM memperkenalkan pelbagai inisiatif yang lebih dinamik dan inklusif seperti fiesta berkenaan.

Aaron berkata pendekatan baharu itu mengubah ruang pameran menjadi tempat interaksi sosial dan pembelajaran, tempat keluarga boleh bersantai, pelajar boleh meneroka dan masyarakat boleh mengenal akar budaya masing-masing dalam suasana yang terbuka dan inklusif.

"Lebih penting lagi, sejarah yang dipamerkan di muzium bukan sekadar memaparkan kisah masa lepas tetapi menjadi asas kepada pembinaan sebuah Negara Bangsa yang harmoni dan sejahtera," katanya.

Aaron merakamkan penghargaan kepada seluruh warga JMM khususnya pengurusan Muzium Kota Kayang yang sentiasa beriltizam dan berdaya usaha untuk menjadikan muzium itu sebagai sebuah institusi warisan yang dinamik, berdaya saing serta relevan dengan arus semasa selain semangat kerjasama dan kebersamaan dizahirkan melalui penganjuran fiesta itu amat membanggakan. 

"Diharapkan semangat ini akan terus menyemarak dalam setiap lapisan masyarakat bagi memartabatkan dan melestarikan khazanah negara sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menonjolkan nilai kebersamaan dan keharmonian yang terjalin di sebalik kepelbagaian agama, bangsa dan budaya," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata di bawah seliaan JMM, sebanyak 437,046 koleksi berharga direkodkan sejak 1963 hingga 2024 yang menjadikan institusi muzium itu antara penjaga warisan dan identiti negara bangsa paling penting di Malaysia.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 322,966 koleksi arkeologi direkodkan merangkumi serpihan seramik, alat batu, logam dan kayu, manik, arca batu serta arang. Selain itu, terdapat 37,414 koleksi etnologi yang menampilkan pelbagai khazanah kebudayaan seperti perhiasan diri, tekstil tradisional, senjata, alat muzik, topeng, wayang kulit, setem dan mata wang. 

"Tidak ketinggalan, sebanyak 76,666 spesimen alam semula jadi turut dipelihara, termasuk burung, mamalia, amfibia, reptilia, serangga, tumbuhan (botani), serta spesimen geologi," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan