EKONOMI

MODENAS SASAR JUALAN TAHUNAN 27,000 UNIT SUPERMOPED Z15GT

24/10/2025 06:35 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), anak syarikat kepada DRB-Hicom Bhd menyasarkan jualan tahunan sebanyak 27,000 unit bagi model supermoped terbaharu Z15GT dengan kapasiti 149.5cc.

Ia merupakan model pertama yang dibangunkan sepenuhnya oleh syarikat itu di Malaysia.

Berharga RM8,288, Z15GT akan mula dijual di seluruh negara mulai 27 Okt, 2025 di semua pengedar sah Modenas dan Kawasaki.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Roslan Roskan berkata harga yang kompetitif menjadikan model berkenaan pilihan yang menarik bagi para penunggang.

“Harga ini sangat kompetitif untuk pasaran. Kami juga berhasrat untuk menembusi segmen bawah 150cc bagi menarik lebih ramai penunggang beralih kepada motosikal keluaran kami,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Z15GT di sini hari ini.

Mengorak langkah ke hadapan, Roslan berkata syarikat itu menyasarkan untuk menjual sekitar 5,000 unit Z15GT menjelang akhir tahun ini.

Dalam satu kenyataan berasingan, Modenas berkata pihaknya merancang untuk mengeksport ke pasaran utama termasuk Filipina, Greece, Turkiye dan Kemboja antara 2026 hingga 2030, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab motosikal ASEAN.

Dibangunkan sepenuhnya oleh pasukan yang terdiri daripada 31 jurutera, pereka bentuk dan juruteknik Malaysia, supermoped Z15GT dilengkapi dengan enjin berkuasa 12.5 kilowatt (kW), tangki bahan api berkapasiti 5.7 liter, sistem brek ABS, sistem kunci pintar serta soket kuasa terbina di dalam.

Menurut syarikat itu, diperakui sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV), Z15GT mencatat kadar lokaliti sebanyak 78 peratus sekali gus menyokong Dasar Automotif Nasional 2020 dan menyumbang kepada Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan