POLITIK

PRN Johor: Calon PH Mengkibol Mahu Transformasikan Infrastruktur

01/07/2026 05:45 PM

Oleh Mohamad Syazwan Mustafa

KLUANG, 1 Julai (Bernama) -- Peguam muda yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol Chu Poh Yee, mempertaruhkan agenda 'tiga serangkai' merangkumi transformasi infrastruktur, pemerkasaan ekonomi domestik dan kebajikan masyarakat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. 

Beliau berkata fokus utama akan diberikan kepada usaha menaik taraf kemudahan asas termasuk kualiti jalan raya serta memperluas inisiatif tani komuniti menerusi projek pertanian bandar demi kesejahteraan penduduk setempat.

Chu berkata dari aspek ekonomi, ekosistem perdagangan di Kluang mempunyai potensi besar untuk dikembangkan lagi menerusi penyediaan lebih banyak platform keusahawanan terbuka dan peluang pekerjaan berkualiti bagi mengekang penghijrahan golongan belia.

"Ekonomi Kluang berada pada landasan yang betul dan penganjuran pelancongan kreatif seperti Pesta Rel Kluang terbukti mampu memacu limpahan pulangan kepada komuniti," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Selain itu, Chu turut membawa misi memperkasakan peranan wanita dalam tenaga kerja dengan memperjuangkan persekitaran kerja yang seimbang bagi membolehkan golongan itu menguruskan kerjaya dan keluarga tanpa tekanan.

"Penyediaan kemudahan pusat jagaan kanak-kanak (taska) yang kondusif antara rancangan utama saya bagi meringankan beban ibu bapa bekerja," katanya.

Mengulas cabaran sepanjang tempoh berkempen, beliau berkata insiden provokasi termasuk kerosakan bahan kempen parti di beberapa lokasi tidak sedikit pun melunturkan semangat pasukannya.

"Semangat jentera kami tetap kuat dan kami tidak akan berundur daripada terus memperjuangkan masa depan Kluang,” katanya.

DUN Mengkibol merupakan satu daripada 14 kerusi yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu pada PRN kali ini dengan Chu berdepan calon Barisan Nasional (BN) Yap Zhi Peng.

PRN Johor menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/

-- BERNAMA

 

N28: MENGKIBOL: 68,457 pengundi

 

1. Yap Zhi Peng (BN-MCA)

2. Chu Poh Yee (PH-DAP)

 

(2022: Chew Chong Sin: PH-DAP: Maj: 10,107)

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2575402