AM

Jabatan Pertanian Nafi Terlibat Kes Penipuan Dokumen Pesanan Kerajaan

01/07/2026 11:35 AM

PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) -- Jabatan Pertanian (DOA) menafikan penglibatan pihaknya dalam sebarang dokumen Pesanan Kerajaan fizikal atau arahan pembekalan mencurigakan yang dikeluarkan di luar sistem rasmi.

Dalam kenyataan hari ini, DOA memaklumkan pihaknya memandang serius dan mengambil perhatian berat aduan berkaitan kes penipuan yang dikesan menyalahgunakan nama dan jawatan pegawai jabatan itu bagi tujuan memalsukan dokumen Pesanan Kerajaan. 

"Taktik licik pihak tidak bertanggungjawab berkenaan bertujuan memperdaya syarikat pembekal tempatan menyediakan bekalan dan perkhidmatan kononnya untuk program jabatan.

"Impak daripada aktiviti penipuan ini telah menyebabkan syarikat pembekal yang terpedaya mengalami kerugian kewangan, sedangkan tiada sebarang perolehan rasmi dibuat oleh pihak jabatan," menurut kenyataan itu.

DOA memaklumkan tindakan tidak bertanggungjawab itu merupakan satu jenayah berat yang jelas berniat jahat bagi mencemarkan imej dan kewibawaan pihaknya serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

DOA dalam pada itu memaklumkan pihaknya tidak mengeluarkan Pesanan Kerajaan secara manual atau melalui saluran peribadi.

Sehubungan itu, Jabatan menasihatkan semua pihak yang terlibat dalam urusan bekalan dan perkhidmatan agar menggunakan Sistem e-Perolehan (eP) rasmi kerajaan bagi setiap permohonan bekalan dan perkhidmatan.

"Syarikat pembekal disarankan menghubungi DOA terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa bekalan dan perkhidmatan yang dikemukakan oleh pihak tertentu bagi mengelakkan kes penipuan yang sama berulang," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2575195