Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), disokong oleh data keyakinan pengguna AS yang lemah telah menjejaskan mata wang AS.
Sementara itu, pelabur kekal berhati-hati menjelang pengumuman laporan pembayaran gaji bukan ladang (NFP) AS lewat minggu ini.
Pada 8.01 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0775/0870 berbanding dolar AS daripada 4.0825/0870 semasa ditutup pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Keyakinan Pengguna Lembaga Persidangan AS berada pada 91.2 mata pada bulan Jun, jauh di bawah anggaran konsensus sebanyak 94.4 mata.
“Hari ini, ringgit dijangka kekal berhati-hati menjelang laporan NFP malam esok, dengan konsensus berada pada 114,000 pada bulan Jun berbanding 172,000 pada bulan Mei.
“Nampaknya sentimen pasaran tertumpu pada keputusan Rizab Persekutuan (Fed) AS (mengenai kenaikan kadar), dan mereka seolah-olah mengabaikan harga minyak mentah semasa di mana minyak mentah West Texas Intermediate dan Brent kini berlegar sekitar US$69.50 setong dan US$72.92 setong,” kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.
Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit tempatan naik berbanding pound Britain kepada 5.4027/4153 daripada 5.4036/4096 ketika ditutup pada Selasa, merosot berbanding euro kepada 4.6537/6645 daripada 4.6528/6580 dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.5066/5126 daripada 2.5154/5183 semalam.
Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.
Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1499/1577 daripada 3.1532/1570 ketika ditutup pada Selasa, hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 227.7/228.3 daripada 227.9/228.3 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.64/6.67 daripada 6.65/6.67.
-- BERNAMA