JENAYAH & MAHKAMAH

TDM Tubuh Lembaga Siasatan Susulan Insiden Senjata Api Meletup Cederakan Dua Anggota

30/06/2026 07:21 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Tentera Darat (TDM) menubuhkan Lembaga Siasatan bagi menyiasat punca insiden senjata api meletup yang mencederakan dua anggotanya semasa Latihan Peningkatan Tempur (LPT) di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah, semalam.

TDM dalam kenyataan memaklumkan Sarjan Mohamad Firdaus Che Shaharudin dan Koperal Felix Franchis dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat terkena serpihan dalam kejadian 6.15 petang itu.

Kenyataan itu memaklumkan insiden berkenaan berlaku ketika sesi latihan tembakan apabila senjata yang dikendalikan oleh kedua-dua anggota tersangkut (stoppage) dan tidak meletup.

“Kedua-dua anggota telah melaksanakan tindakan segera mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan bagi menangani situasi berkenaan, bagaimanapun satu letupan telah berlaku secara tiba-tiba mengakibatkan kedua-dua anggota mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat terkena serpihan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Kedua-dua anggota kemudian diberikan rawatan kecemasan awal di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan pasukan sebelum dihantar ke Hospital Sik untuk rawatan lanjut.

TDM memaklumkan Mohamad Firdaus telah menerima rawatan pesakit luar dan dibenarkan pulang ke pasukan manakala Felix dipindahkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani bagi rawatan dan pemantauan lanjut.

“Kedua-dua mereka berada dalam keadaan stabil,” menurut kenyataan itu.

TDM memaklumkan lapang sasar berkenaan ditutup sementara bagi membolehkan proses siasatan berjalan lancar.

“TDM memandang serius terhadap insiden ini dan akan memastikan aspek keselamatan serta prosedur operasi standard latihan sentiasa diutamakan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, TDM memohon kerjasama orang awam dan pengguna media sosial agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan serta menghormati privasi anggota yang terlibat dan keluarga mereka.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2575044