AM

Khazanah Marin Kaya Jadi Tarikan Utama Di Festival Menyelam Labuan 4.0

30/06/2026 06:38 PM

LABUAN, 30 Jun (Bernama) -- Kehidupan marin Labuan yang kaya dengan pelbagai spesies laut dan pemandangan dasar laut memukau menjadi tarikan utama Festival Menyelam Labuan 2026 4.0.

Festival yang berlangsung dari 25 hingga 28 Jun itu, telah menghimpunkan penyelam skuba, peminat snorkeling, pencinta kehidupan laut dan pihak berkepentingan pelancongan untuk mempromosikan warisan dasar laut dan marin Labuan.

Dianjurkan oleh Labuan Rusukan Besar Tour and Travel dengan aktiviti selaman dikendalikan oleh Dive Rusukan Labuan, acara itu disertai 19 penyelam berlesen dan 13 peserta snorkeling.

Menggabungkan wakil antarabangsa dari Singapura, China, Itali dan selain peserta dari Semenanjung, Sabah dan Labuan.

Ketuanya Jeffrey Lee berkata ketika aktiviti selaman, para peserta dapat meneroka kepelbagaian kehidupan marin termasuk ikan fusilier, batfish dan barakuda, serta ikan buntal, kerapu dan pelbagai spesies terumbu lain.

“Para penyelam juga dapat melihat formasi terumbu karang yang sihat dan berwarna-warni di sekitar Labuan Rusukan Besar Resort dan perairan sekitarnya.

“Festival ini juga menampilkan pengalaman hospitaliti laut dan aktiviti rangkaian antara peserta dan pihak berkepentingan pelancongan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Jeffrey berkata antara tarikan utama menyelam di Labuan ialah tapak kapal tenggelam terkenal, terletak di dalam kawasan perlindungan warisan yang diwartakan di bawah Jabatan Warisan Negara.

“Kelulusan khas telah diperoleh oleh penyelam untuk menjalankan aktiviti selaman di tapak kapal tenggelam yang penting secara sejarah, agar peserta dapat meneroka bahagian penting warisan air negara dengan selamat.

“Festival ini mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia, Perbadanan Labuan, Persatuan Alam Sekitar dan Pemuliharaan Marin Labuan, Kelab Menyelam Labuan, Taman Laut Labuan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2575022