AM

Perlis Peruntuk RM1.546 Juta Jayakan RSN 2040

30/06/2026 06:27 PM

KANGAR, 30 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perlis memperuntukkan RM1.546 juta bagi melaksanakan beberapa kajian pemajuan serta projek pembangunan sistem negeri sebagai usaha memperkukuh hala tuju perancangan dan pembangunan negeri menerusi Draf Rancangan Struktur Negeri (RSN) Perlis 2040.

Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata peruntukan itu melibatkan pembangunan platform digital negeri, kajian pelan tindakan khas kawasan petempatan serta kajian pembangunan berteraskan komuniti bagi memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.

Beliau berkata Draf RSN Perlis 2040 yang menjadi dokumen utama perancangan dan pembangunan negeri itu dijadual dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara pada 13 Julai ini.

“Draf Rancangan Struktur Negeri ini menjadi asas serta hala tuju pembangunan negeri Perlis dan kejayaannya memerlukan koordinasi yang cekap antara agensi kerajaan negeri, Persekutuan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Dengan kewujudan Jawatankuasa Peneraju, saya yakin matlamat yang digariskan dalam RSN Perlis iaitu untuk menjadikan negeri ini progresif, sejahtera dan berpendapatan tinggi menjelang 2040 dapat dicapai,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Abu Bakar berkata antara kajian dan projek yang akan dilaksanakan ialah pembangunan Geoportal PerlisGIS oleh sebuah syarikat swasta selain Kajian Pelan Tindakan Khas (PTK) Pekan Kecil dan PTK Mukim yang dilaksanakan dengan kerjasama empat institusi pengajian tinggi awam.

Beliau berkata Kajian PTK Pekan Kecil mengenal pasti 23 kawasan petempatan yang berpotensi untuk dibangunkan secara berperingkat bagi mengukuhkan ekonomi setempat serta memperkasakan pembangunan luar bandar.

Katanya PTK Mukim pula melibatkan empat zon iaitu Kangar, Pauh, Sanglang dan Chuping.

“Pembangunan Geoportal PerlisGIS yang dijangka siap pada Disember 2027 selepas tempoh pelaksanaan selama 18 bulan akan menjadi platform integrasi data kerajaan bagi menyokong perancangan pembangunan, menarik pelaburan, memperkukuh pengurusan bencana serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.

Mengulas kejadian kebakaran di Kampung Warna-Warni, Kuala Perlis pada 13 Jun lepas, beliau berkata kerajaan negeri akan menyediakan pelan induk pembangunan kawasan itu bagi mengurangkan risiko kejadian sama berulang selain menambah baik aspek keselamatan dan infrastruktur.

Beliau berkata Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Perlis bersama jabatan teknikal negeri dan Persekutuan diberi tanggungjawab menyediakan perancangan menyeluruh merangkumi penyusunan semula penempatan, penyediaan kemudahan utiliti serta sistem pencegahan kebakaran dengan sasaran pelan itu dapat disiapkan dalam tempoh enam bulan.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2575017