GAYA HIDUP

Puisi Bahasa Melayu Jadi Medium Jambatan Budaya

30/06/2026 05:22 PM

Oleh Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Sebutan yang masih pelat tidak menghalang sekumpulan anak muda dari China, Rusia dan beberapa negara ASEAN menghayati setiap bait puisi dalam Bahasa Melayu, sekali gus membuktikan bahasa itu mampu merentas sempadan budaya dan menyatukan generasi muda.

Menerusi Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Remaja ASEAN + China dan Rusia 2026, peserta daripada pelbagai latar belakang berkongsi pentas mendeklamasikan puisi bertemakan ‘Suara Kemanusiaan Sejagat’ bagi menyampaikan mesej keamanan, perpaduan dan nilai kemanusiaan melalui bahasa kebangsaan Malaysia.

Program berlangsung di Sekolah Methodist Wesley Kuala Lumpur (Antarabangsa) hari ini dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Persatuan Penyair Malaysia (PEMUISI) membuktikan perbezaan negara, budaya dan bahasa tidak penghalang peserta berkongsi minat serta kecintaan terhadap seni sastera Melayu.

pic-2

Bagi peserta dari Thailand, Muhammad Che Din Abdul Manaf, 21, cabaran terbesar sepanjang dua minggu latihan ialah menyesuaikan diri dengan penggunaan Bahasa Melayu baku kerana sebelum ini beliau lebih terbiasa bertutur dalam dialek Pattani.

"Ini memang cabaran sebab bila masuk pertandingan puisi ini, kami kena belajar cakap Bahasa Melayu formal dengan sebutan yang jelas," kata penuntut jurusan Bahasa Melayu di Prince of Songkla University itu yang menggunakan pentas tersebut bagi menyuarakan mesej mengenai penderitaan rakyat di Gaza. 

Seorang lagi peserta, Zhang Yanhan, 20, dari China, berkata minat yang mendalam terhadap budaya Malaysia mendorong beliau mempelajari Bahasa Melayu di Sichuan International Studies University sejak dua tahun lepas.

"Saya sangat suka budaya Malaysia. Bagi saya, kalau kita nak faham sesuatu masyarakat yang berbeza latar belakang, cara terbaik adalah dengan belajar bahasa mereka," katanya yang mengakui banyak dibantu oleh pensyarah dan rakan-rakan untuk memperbaiki sebutan.

pic-3

Peserta dari Rusia,  Anna Kuwata, 15,  berkata cabaran paling besar bukan sekadar menghafal bait puisi tetapi juga memastikan emosi dapat dikawal ketika berada di atas pentas.

“Saya rasa kadangkala tekanan yang saya alami menyebabkan saya terlupa dialog, dan saya perlu memastikan emosi sentiasa terkawal pada setiap masa,” katanya yang mula mempelajari Bahasa Melayu ketika bersekolah di Malaysia. 

Sementara itu, Timbalan Menteri Perpaduan R. Yuneswaran berkata penyertaan peserta dari pelbagai negara membuktikan Bahasa Melayu mempunyai nilai yang merentasi sempadan serta berupaya menjadi medium menyatukan generasi muda melalui seni dan budaya.

“Ini menunjukkan Bahasa Melayu juga adalah bahasa yang mudah dipelajari dan satu kebanggaan apabila kita melihat negara-negara ASEAN lain mengambil berat tentang kepentingan bahasa. Melalui bahasa inilah kita boleh mengekspresikan bakat kita kepada luar negara,” katanya.

Pertandingan menghimpunkan lebih 20 peserta dari enam negara itu menyaksikan Malaysia muncul juara, diikuti Indonesia di tempat kedua manakala China menduduki tempat ketiga.

    -- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2574962