POLITIK

PRN Johor: Anak Muda "Tinggalkan" Machap, Nur Hafiz Mahu Bina Semula Tarikan Kawasan

30/06/2026 05:10 PM

KLUANG, 30 Jun (Bernama) -- Di sebalik angka daftar pemilih yang menunjukkan majoriti pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap terdiri daripada golongan muda dan belia, realitinya ramai dalam kalangan mereka kini membina kehidupan jauh dari kampung halaman.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kawasan itu Nur Hafiz Roslan berkata keadaan itu, bukan sekadar soal penghijrahan tenaga kerja tetapi juga gambaran kepada cabaran lebih besar, termasuk kekurangan peluang pekerjaan, jurang pembangunan infrastruktur dan capaian Internet yang masih belum memuaskan.

Beliau berkata isu infrastruktur yang tidak sekata dan kurangnya peluang pekerjaan, menjadi punca utama kepada penghijrahan generasi muda, sehinggakan kira-kira 60 peratus penduduk menetap di lapangan ketika ini terdiri daripada warga emas.

“Dari segi data daftar pemilih, golongan belia berusia 25 hingga 45 tahun merangkumi hampir 51 peratus daripada keseluruhan pengundi, namun majoriti mereka kini merantau dan bekerja di luar seperti di Singapura dan Lembah Klang,” katanya dalam satu temu bual bersama Bernama di sini.

Sehubungan itu, Nur Hafiz berkata jentera PH kini melipatgandakan kempen digital menerusi media sosial, bagi memastikan mesej dan tawaran manifesto beliau sampai terus kepada golongan perantau.

Seiring dengan namanya yang membawa maksud “cahaya”, Nur Hafiz berkata beliau bertekad untuk membawa pembaharuan dan harapan kepada Machap, dalam memulihkan isu infrastruktur dan capaian Internet di kawasan berkenaan.

“Hafiz di sini datang membawa Nur (cahaya). Jadi saya Nur Hafiz, insya-Allah berazam mengambil iltizam daripada nama saya sendiri, untuk menjadi penggerak yang membawa cahaya baharu kepada Machap.

“Fokus saya ialah menyelesaikan keluh-kesah rakyat termasuk kegagalan liputan Internet di kawasan Johor Tengah ini, khususnya di DUN Machap,” katanya.

Beliau turut menyeru semua anak jati Machap, supaya pulang menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 11 Julai ini.

“Setiap undi daripada pengundi luar amat berharga demi membawa perubahan ke kampung halaman. Saya berharap mereka dapat meluangkan masa sekejap untuk pulang, demi masa depan ibu bapa dan daerah ini,” katanya.

Nur Hafiz akan dicabar Menteri Besar Johor yang juga penyandang kerusi berkenaan Datuk Onn Hafiz Ghazi mewakili Barisan Nasional (BN), dalam pertembungan satu lawan satu.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.

-- BERNAMA

 

N26: MACHAP - 35,206 pengundi

1. Nur Hafiz Roslan (PH-AMANAH)

2. Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN-UMNO)

(2022: Datuk Onn Hafiz Ghazi: BN-UMNO: Maj: 6,543)

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2574931