KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Misi Perniagaan Itali-Malaysia selama dua hari bermula di sini pada Isnin, dengan penyertaan 35 syarikat Itali serta pihak berkepentingan institusi daripada sektor infrastruktur dan pengangkutan, peralihan tenaga, minyak dan gas, serta pembuatan termaju.
Kedutaan Itali di Malaysia dalam satu kenyataan berkata inisiatif itu, yang selaras dengan strategi Diplomasi Pertumbuhan Kementerian Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Antarabangsa Itali, bertujuan memupuk peluang pelaburan baharu, kerjasama industri dan perkongsian komersial antara kedua-dua negara.
“Inisiatif ini dilaksanakan berlatarbelakangkan hubungan ekonomi yang berkembang pesat, dengan perdagangan dua hala mencecah 3.4 bilion euro (RM15.73 bilion) pada 2025, meningkat 6.3 peratus berbanding tahun sebelumnya. Ini sekali gus mengesahkan daya tahan dan potensi pertumbuhan perkongsian matang antara Itali dan Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Duta Itali ke Malaysia Raffaele Langella berkata misi perniagaan itu mencerminkan kekuatan dan kematangan perkongsian ekonomi yang semakin berkembang antara Itali dan Malaysia, dan kini lebih disokong oleh dialog politik berstruktur dan berpandangan ke hadapan.
“Malaysia merupakan rakan strategik bagi Itali di Asia Tenggara dan platform semula jadi untuk pengantarabangsaan perusahaan kami.
Misi ini direka untuk melangkaui sekadar dialog dan secara aktif menjana peluang baharu bagi pelaburan, kerjasama industri serta projek bersama dalam sektor utama seperti infrastruktur, peralihan tenaga dan pembuatan termaju, selaras dengan keutamaan kedua-dua negara,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Sim Tze Tzin berkata Malaysia dan Itali telah lama dihubungkan oleh warisan perkongsian perdagangan maritim, saling menghormati dan penghargaan terhadap perdagangan berkualiti tinggi.
“Merenung ke hadapan, kedua-dua negara komited untuk memanfaatkan asas sejarah ini bagi memacu libat urus perniagaan yang moden, berdaya tahan dan saling menguntungkan,” katanya dalam kenyataan itu.
Pada Selasa, syarikat-syarikat yang menyertai misi perniagaan berkenaan dijadual mengadakan lawatan tapak ke beberapa syarikat terkemuka Malaysia dalam sektor yang dikenal pasti, iaitu infrastruktur dan pengangkutan, peralihan tenaga serta minyak dan gas, selain pembuatan termaju.
Inisiatif itu dianjurkan bersama oleh Agensi Perdagangan Itali (Agensi ICE), Confindustria dan persatuan wilayah Confindustria di Veneto, Emilia-Romagna, Lombardy dan Piedmont, serta Kedutaan Itali di Kuala Lumpur.
-- BERNAMA