ISTANBUL, 25 Jun (Bernama-Anadolu) -- Kementerian Minyak Iraq menafikan dakwaan bahawa Baghdad mengancam untuk menarik diri daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), selepas Bloomberg melaporkan pada Khamis bahawa negara itu mungkin mempertimbangkan semula keanggotaannya sekiranya kuota pengeluarannya tidak dinaikkan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa dakwaan Iraq mengancam untuk menamatkan keanggotaannya dalam OPEC tidak mencerminkan pendirian rasmi kerajaan Iraq.
Menurut kementerian itu, Perdana Menteri mahupun kerajaan tidak pernah membangkitkan isu penarikan diri berkenaan.
Sebaliknya menurut beliau, Iraq secara konsisten menekankan keperluan untuk mengkaji semula had pengeluaran selaras dengan kapasiti pengeluaran mampan negara-negara anggota, selain mengambil kira persefahaman berkaitan situasi keselamatan dan ekonomi Iraq.
Bloomberg sebelum ini melaporkan, dengan memetik Jurucakap Kementerian Minyak Salim Al-Rikabi, bahawa Iraq ketika ini tidak berhasrat meninggalkan OPEC dan kekal komited untuk bekerjasama dalam rangka kerja serta mekanisme pertubuhan itu.
Bagaimanapun, Al-Rikabi dipetik sebagai berkata Iraq akan meneruskan rancangan untuk meningkatkan pengeluaran selaras dengan keupayaan dan keperluannya, dan OPEC seharusnya menaikkan tahap pengeluaran negara itu dengan sewajarnya.
Menurut kementerian itu, OPEC dan negara pengeluar sekutunya telah pun bertindak balas terhadap kebimbangan berkenaan dengan melancarkan proses untuk menilai semula kapasiti pengeluaran mampan maksimum negara-negara anggota, dengan penyelarasan sebuah firma perunding antarabangsa bebas serta penyertaan aktif Iraq.
Ia menambah bahawa OPEC dan sekutunya juga telah mula memulihkan secara berperingkat tahap pengeluaran yang dikurangkan, manakala pengurangan pengeluaran secara sukarela akan disambung semula sepenuhnya dalam beberapa bulan akan datang, yang dijangka mengukuhkan had pengeluaran Iraq.
Kementerian itu menyatakan sebarang tuntutan berkaitan had pengeluaran atau tahap kapasiti akan ditangani menerusi mekanisme teknikal berasaskan konsensus dalam rangka kerja OPEC+.
Ia turut memaklumkan bahawa negara-negara anggota telah menunjukkan tahap pemahaman yang tinggi terhadap "situasi istimewa" Iraq, dengan mengambil kira kesan lebih 40 tahun peperangan, sekatan serta kerosakan infrastruktur, termasuk serangan sabotaj pengganas ke atas kemudahan minyak.
Menurut kementerian itu, keadaan berkenaan wajar diambil kira bagi membolehkan pengeluaran minyak Iraq mencapai tahap yang adil sekali gus membolehkan negara itu memperoleh semula kedudukannya sebagai pengeluar kedua terbesar dalam kalangan negara anggota OPEC.
-- BERNAMA