KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Sebanyak 13 daripada 29 perkara yang dibincangkan di bawah platform rundingan rasmi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjaya diselesaikan sepenuhnya setakat ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata sebanyak lima perkara lagi selesai sebahagian atau interim, hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 yang diadakan pada 2 Mac lepas.
Beliau berkata empat daripada perkara interim itu melibatkan isu pertambahan perjawatan perkhidmatan awam negeri di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, selain isu kesihatan, pendidikan dan Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan di Sabah dan Sarawak.
“Baki 11 perkara lagi yang belum selesai kini sedang dipantau secara rapi oleh Bahagian Hal Ehwal Sabah Sarawak (BHESS) selaku sekretariat bersama semua pemegang taruh pada peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) yang ingin tahu status terkini pelaksanaan perkara di bawah MA63, serta tuntutan penambahan jumlah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak untuk memenuhi kuota 35 peratus.
Menjawab isu penambahan kerusi Parlimen, Mustapha menjelaskan tuntutan berkenaan berada dalam kategori belum selesai, dan masih pada peringkat perbincangan memandangkan urusan kajian semula persempadanan hanya boleh dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas tamat julat tempoh lapan tahun.
Perkara itu tertakluk di bawah bidang kuasa SPR mengikut Jadual Ke-13 dan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, selain memerlukan pindaan undang-undang komposisi keanggotaan Dewan Rakyat di bawah Perkara 46 yang menuntut persetujuan majoriti dua pertiga dewan.
-- BERNAMA