AM

Perpaduan Melalui Pendidikan Lahirkan Masyarakat Inklusif, Progresif - Exco

24/06/2026 05:34 PM

SEREMBAN, 24 Jun (Bernama) -- Perpaduan yang dipupuk menerusi pendidikan mampu membentuk nilai dan sahsiah unggul dalam kalangan generasi muda, sekali gus melahirkan masyarakat MADANI yang inklusif, progresif dan harmoni.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO Negeri Sembilan Datuk Tengku Zamrah Tengku Sulaiman berkata perpaduan tidak terbina melalui slogan semata-mata, tetapi melalui pengalaman, interaksi dan kerjasama yang menyatukan kepelbagaian masyarakat.

Beliau berkata dalam dunia yang semakin mencabar, negara memerlukan generasi yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga mempunyai daya fikir kreatif, nilai murni serta keseimbangan aspek fizikal, mental dan emosi.

"Saya melihat penganjuran Fiesta Perpaduan, Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Keusahawanan MADANI peringkat negeri ini merupakan platform penting dalam melahirkan pelajar yang berkemahiran, kreatif dan berfikiran kritis.

"Saya yakin program ini juga mampu meningkatkan nilai bekerjasama dalam masyarakat majmuk, selain memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan rakyat, selaras aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035,” katanya ketika berucap pada program berkenaan di sini, hari ini.

Lebih 1,500 pelajar sekolah dari seluruh Negeri Sembilan termasuk usahawan hadir untuk memeriahkan Fiesta Perpaduan, Pendidikan STEM dan Keusahawanan MADANI Negeri Sembilan yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Seremban 2.

Dalam pada itu, Tengku Zamrah berkata kerjasama erat antara kerajaan, sekolah, ibu bapa, komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat penting bagi memastikan agenda pendidikan dan perpaduan terus diperkasakan demi manfaat masyarakat dan negara.

Beliau berkata aktiviti kokurikulum seperti ini dapat memainkan peranan penting dalam membentuk pelajar yang seimbang dari segi kepimpinan, disiplin, komunikasi, kerjasama dan tanggungjawab.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2572508