KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan aktivis Badrul Hisham Shaharin membela diri atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah yang boleh menjejaskan nama baik Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, dua tahun lepas.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di sini, yang melepas dan membebaskan Badrul Hisham, 48, atau dikenali sebagai Chegubard di akhir kes pendakwaan.
“Setelah mendengar hujahan pihak-pihak dan meneliti rekod rayuan, mahkamah berpuas hati terdapat keterangan yang boleh dipercayai bahawa kenyataan yang dibuat oleh responden (Badrul Hisham) adalah tidak benar dan tergolong di bawah fitnah.
"Oleh itu, pihak pendakwaan berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadap responden. Mahkamah memerintahkan kes ini dikembalikan ke Mahkamah Sesyen dan hakim sama untuk responden membela diri atas pertuduhan tersebut,” katanya.
Pada 29 April 2024, Badrul Hisham didakwa telah mengeluarkan kenyataan fitnah, dengan ada sebab untuk mempercayai bahawa kenyataan itu akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara pada 6 petang 22 Jan 2024 dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 4 Nov tahun lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Norma Ismail melepas dan membebaskan bekas Ketua Bersatu Port Dickson itu daripada pertuduhan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Noor Ruwena dalam penghakimannya berkata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara telah mengarahkan saksi pendakwaan pertama (SP1), Pegawai Perhubungan Akhbar Istana Negara Mohd Husni Yusop untuk membuat laporan polis kerana tiada perkenan daripada Sultan Ibrahim untuk perjumpaan dengan beberapa wakil daripada Perikatan Nasional.
“Prima facie kes adalah satu keterangan yang boleh dipercayai. Hakim Mahkamah Sesyen tidak menyatakan keterangan SP1 tidak boleh dipercayai, tetapi yang penting ialah keterangan daripada SP1 yang merupakan wakil istana.
“Keterangan saksi ini tidak boleh dikatakan tidak boleh dipercayai kerana dia menjelaskan sebenarnya (perjumpaan) tidak berlaku, oleh demikian itulah fitnahnya. Sekiranya perjumpaan tersebut diperkenan, semestinya laporan polis tersebut ditarik balik,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Noor Ruwena berkata Mahkamah Tinggi boleh campur tangan sekiranya terdapat kesilapan dari segi fakta dan undang-undang oleh hakim Mahkamah Sesyen.
“Pada peringkat ini, beban pembuktian secara keterangan telah beralih kepada tertuduh (Badrul Hisham) untuk mengemukakan penjelasan yang munasabah bagi menolak kes pendakwaan,” katanya.
Beliau berkata mahkamah yang mendengar kes pembelaan kelak perlu menilai sama ada penjelasan yang dikemukakan tertuduh boleh dipercayai dan munasabah sehingga menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.
Pada prosiding itu, Badrul Hisham diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali manakala Timbalan Pendakwa Raya Faizal @ Amrin Noor Hadi mewakili pihak pendakwaan.
-- BERNAMA