LONDON, 24 Jun (Bernama-Xinhua) -- Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) pada Selasa mengumumkan pelan pemindahan bagi lebih 11,000 pelaut yang masih terkandas di Selat Hormuz, lapor Xinhua.
IMO telah memperoleh jaminan keselamatan yang diperlukan dan mengesahkan keadaan pelayaran yang selamat bagi menyokong operasi pemindahan itu, kata Setiausaha Agung IMO Arsenio Dominguez dalam satu kenyataan.
Menurut Dominguez, operasi itu menyusul selepas pemeteraian memorandum persefahaman antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) dan akan dilaksanakan menerusi kerjasama rapat dengan Iran, Oman, negara-negara lain di rantau berkenaan serta industri maritim.
Beliau mengalu-alukan perjanjian damai antara Iran dan AS, sambil menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah memulihkan keselamatan maritim serta menamatkan serangan terhadap perkapalan awam selepas konflik berbulan-bulan yang menyebabkan kesukaran kepada ribuan pelaut dan mengganggu perdagangan global.
Dominguez turut memberi penghormatan kepada 14 pelaut yang terkorban semasa konflik itu, sambil menyatakan bahawa jasa mereka kepada perdagangan global tidak akan dilupakan.
Selain itu, beliau menegaskan semula komitmen organisasi berkenaan untuk memastikan keselamatan pelaut serta kesinambungan perdagangan global.
-- BERNAMA-XINHUA