PUTRAJAYA, 22 Jun (Bernama) -- Kerjasama antara Malaysia dan Bangladesh perlu diperluaskan ke bidang-bidang baharu dan sedang berkembang termasuk kecerdasan buatan (AI), tenaga dan semikonduktor, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata walaupun pelaburan kekal penting, kerjasama antara kedua-dua negara juga perlu melangkaui sektor tradisional dan merangkumi penyelidikan serta teknologi baharu, khususnya dalam bidang AI yang merupakan antara cabaran utama masa hadapan.
“Kita perlu memperkukuh perdagangan dan pelaburan dua hala, seperti yang saya nyatakan, dalam bidang-bidang baharu selain pertanian yang masih menjadi antara sektor utama, termasuk semikonduktor, ekonomi digital, tenaga dan pembuatan termaju,” katanya.
Anwar berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Bangladesh Tarique Rahman, yang sedang dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, Anwar dan Tarique turut menyaksikan pertukaran satu Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Kebudayaan serta dua pertukaran Nota (EoN) dalam bidang Penyelidikan Antikeganasan serta Promosi dan Pemudahcaraan Pelaburan.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan yang mendalam kepada Tarique kerana menerima jemputan Malaysia dan mengadakan lawatan rasmi ke negara ini.
“Saya amat gembira kerana Malaysia merupakan negara pertama yang dipilih untuk lawatan rasmi beliau, dan keputusan itu amat kami hargai. Ia menunjukkan kasih sayang dan kepercayaan yang mendalam,” katanya.
Anwar turut mengimbau bahawa rakan sejawatnya dari Bangladesh itu serta keluarganya telah melalui pelbagai kesukaran dalam perjuangan, namun kekal konsisten dalam idealisme mereka untuk mempertahankan kebebasan dan memajukan rakyat serta negara berkenaan.
“Saya antara yang pertama menghubungi dan mengucapkan tahniah secara peribadi, dan saya menyatakan bahawa saya menantikan lawatannya,” kata Anwar.
Sementara itu, Tarique berkata terdapat potensi besar untuk pelaburan Malaysia di Bangladesh, dan beliau menjemput syarikat Malaysia untuk meneroka peluang yang tersedia di negara tersebut.
Beliau berkata perbincangan hari ini merangkumi pelbagai sektor termasuk tenaga, infrastruktur, tenaga kerja, industri halal, pemprosesan agro, pendidikan, pembangunan kemahiran, pertahanan, ekonomi digital, semikonduktor dan industri bernilai tinggi lain.
“Pekerja, pelajar, profesional dan usahawan Bangladesh di Malaysia berperanan sebagai jambatan penting antara kedua-dua negara. Sumbangan mereka memberi manfaat kepada ekonomi dan masyarakat kedua-dua pihak,” katanya.
Pada 2025, jumlah perdagangan Malaysia dan Bangladesh mencecah RM12.18 bilion (USD2.84 bilion), dengan eksport Malaysia ke negara itu bernilai RM10.08 bilion (USD2.35 bilion), didominasi produk petroleum.
Import dari Bangladesh pula berjumlah RM2.10 bilion (USD500 juta), melibatkan tekstil, pakaian dan kasut.
Bangladesh merupakan rakan dagang ke-28 terbesar Malaysia di peringkat global, selain rakan dagang kedua terbesar negara di rantau Asia Selatan selepas India, termasuk sebagai destinasi eksport dan sumber import utama.
-- BERNAMA