AM

Isteri PM Bangladesh Luang Masa Naik Cruise Tasik Putrajaya

22/06/2026 12:04 PM

PUTRAJAYA, 22 Jun (Bernama) -- Isteri Perdana Menteri Bangladesh, Dr Zubaida Rahman hari ini meluangkan masa menaiki Cruise Tasik Putrajaya, mengelilingi tasik untuk melihat bangunan ikonik sekitar Putrajaya dari atas bot.

Ketibaan beliau pada 9.30 pagi disambut oleh isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.  

Dr Zubaida meluangkan masa selama sejam beramah mesra dengan Dr Wan Azizah dan Hannah sambil menikmati pemandangan pusat pentadbiran negara.

Perdana Menteri Bangladesh Tarique Rahman dan Dr Zubaida tiba di Malaysia pada malam Ahad untuk lawatan rasmi selama dua hari dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala yang sedia erat antara kedua-dua negara, selain memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.

Lawatan atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu merupakan lawatan rasmi dua hala pertama Tarique ke luar negara sejak menyandang jawatan pada Februari 2026.

Bangladesh kini merupakan rakan dagang ke-28 terbesar Malaysia di peringkat global dengan jumlah dagangan bernilai RM12.18 bilion, selain menjadi rakan dagang kedua terbesar Malaysia di rantau Asia Selatan selepas India.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2571354