Oleh Wartawan Bernama Lifestyle
KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Pada 3 Ogos 1996, mereka mencipta memori menerusi konsert The Grand Slam Unplugged di Stadium Merdeka di sini, dan dua malam sudah, kumpulan Slam kembali membawa peminat menelusuri perjalanan masa menerusi The Grand Slam Unplugged 2 di Mega Star Arena di sini.
Bagi sebahagian besar penonton yang hadir, konsert pada Sabtu malam itu bukan sekadar persembahan muzik, sebaliknya sebuah imbauan memori dibawa oleh lagu-lagu yang pernah menemani zaman remaja, kisah cinta dan pelbagai kenangan hidup mereka.
Sebaik sahaja lampu pentas dimalapkan dan muzik iringan daripada Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) bergema, sorakan penonton memenuhi dewan, jelas menggambarkan keterujaan untuk menyoroti era yang menyaksikan nama Slam berada di puncak populariti industri muzik tanah air.
pic-2
Sebanyak 20 lagu dipersembahkan menerusi tiga segmen antaranya Kembali Merindu, Tak Mungkin Berpaling, Nur Kasih dan Kembali Terjalin yang mendapat sambutan hangat dengan hampir seluruh hadirin turut menyanyi bersama-sama, seolah-olah masa tidak pernah berlalu sejak karya-karya itu berkumandang buat pertama kali.
Ada yang dilihat merakam persembahan menggunakan telefon bimbit, manakala sebahagian lagi memilih untuk menyanyi bersama-sama sambil menghayati setiap momen yang dipersembahkan di atas pentas.
Di sebalik perjalanan tiga dekad itu, satu perkara yang nyata tidak berubah, iaitu kekuatan vokal Zamani. Di sebalik usia melangkaui separuh abad, kemampuan penyanyi ini menyampaikan lagu-lagu persis rakaman kaset mengagumkan peminat.
pic-3
Selain Zamani, kumpulan itu turut dianggotai Shah di posisi gitar, Lili (bes), Man (dram) dan Eddie (keyboard) dengan masing-masing memainkan peranan tersendiri dalam menghidupkan persembahan malam itu.
Suasana konsert bertambah menarik dengan kemunculan tiga pemain gitar legenda tanah air, iaitu JoBranko, Kid Search dan Aznan Alias sebagai pemuzik undangan yang masing-masing berkongsi pentas menerusi Intanku Kesepian, Gadisku dan Sentuhan Listrikmu.
Tiga nama besar yang pernah mewarnai zaman kegemilangan muzik rock tanah air itu masing-masing hadir dengan gaya permainan tersendiri, namun gabungan mereka berjaya memberikan dimensi baharu kepada persembahan akustik yang dipersembahkan malam itu.
pic-4
Setiap kali tiba bahagian solo, "gorengan" gitar mereka menerima sorakan gemuruh penonton yang jelas tersentuh dengan kehebatan tiga pemuzik berkenaan.
Dalam kalangan penonton pula, dapat dilihat kehadiran peminat daripada pelbagai lapisan umur, termasuk mereka yang membesar dengan lagu-lagu Slam serta generasi muda yang mengenali kumpulan itu menerusi keluarga dan platform digital, sekali gus menjadikan konsert itu sebagai wadah yang menyatukan generasi berbeza melalui kenangan dan penghargaan terhadap karya tempatan.
pic-5
Malam yang sarat dengan nostalgia itu diakhiri dengan cara yang cukup istimewa apabila Zamani mengundang ketiga-tiga pemain gitar legenda berkenaan bersama-sama pemain gitar Slam iaitu Shah untuk mempersembahkan lagu hit mereka Gerimis Mengundang.
Ribuan penonton yang menyanyikan setiap bait lirik lagu itu bersama-sama serta tepukan gemuruh yang mengiringi persembahan finale berkenaan menjadi simbol penghargaan terhadap perjalanan muzik sebuah kumpulan yang telah berusia lebih tiga dekad dan masih mantap, tanpa sebarang petanda untuk melabuhkan tirainya.
-- BERNAMA