AM

AmanahRaya Trustees Bantu Komuniti Luar Bandar Menerusi Program Komuniti Prihatin

22/06/2026 11:09 AM

KEPALA BATAS, 22 Jun (Bernama) -- Memahami cabaran ekonomi semasa, AmanahRaya Trustees Berhad (ART), anak syarikat milik Amanah Raya Berhad tampil menghulurkan bantuan kepada 200 keluarga terpilih di Kampung Rantau Panjang, Penaga di sini semalam menerusi program Komuniti Prihatin.

Bantuan berupa bakul makanan itu adalah sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan dalam menyokong kesejahteraan masyarakat setempat serta membantu golongan memerlukan menghadapi cabaran kos sara hidup.

Seorang penerima warga emas, Saudah Hussin, 79, ketika ditemui pada program itu melahirkan rasa syukur atas bantuan yang sangat bermakna dalam memenuhi keperluan harian keluarganya.

Saudah yang tinggal bersama anak lelaki, menantu dan empat cucu berkata keluarganya banyak bergantung kepada anak lelaki sejak suaminya meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru berair lebih tiga tahun lepas.

“Anak lelaki saya yang banyak menguruskan hal-hal di rumah termasuk menjaga saya yang hanya mampu bergerak dengan bantuan kerusi roda dan tongkat,” katanya yang menghidap diabetes.

Dalam pada itu, bekas imam Masjid Kampung Rantau Panjang, Othman Ramli, 63, menyifatkan inisiatif ART sebagai bukti keprihatinan terhadap golongan yang berdepan tekanan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup.

“Isi rumah saya ada empat orang dan biasanya perbelanjaan bulanan mencecah RM500, tambahan pula sekarang saya tiada pendapatan tetap dan hanya bergantung kepada simpanan bulanan serta sedikit hasil sewa bendang. Jadi, sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat tampung sikit perbelanjaan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ART Zainudin Suhaimi berkata program yang dilaksanakan dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Wilayah Utara itu mencerminkan pendekatan “turun padang” oleh ART dalam memahami realiti kehidupan masyarakat.

Beliau berkata program itu juga dapat memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat, selain memperlihatkan pelaksanaan CSR yang lebih bersasar dan memberi impak tinggi kepada golongan memerlukan.

Zainudin berkata lebih RM40,000 disumbangkan ART untuk program itu, yang meliputi pemberian bakul makanan kepada 200 penerima dan caruman akaun i-Saraan KWSP kepada 200 pelajar sebagai galakan awal kepada budaya menabung dan perancangan kewangan masa hadapan.

Selain itu, beliau berkata pihaknya turut menyumbangkan dua set khemah berserta kerusi dan meja kepada Masjid Jamek Kampung Rantau Panjang bagi kegunaan program komuniti dan aktiviti kemasyarakatan setempat.

Program itu turut diserikan dengan pelbagai aktiviti komuniti, antaranya penyediaan kuih tradisional seperti kuih cara, kuih serabai dan mengacau dodol, kenduri rakyat selain aktiviti menyusuri Sungai Muda bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kelestarian ekosistem sungai.

“Aktiviti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam komuniti, malah memberi peluang kepada sukarelawan ART melihat sendiri aktiviti harian penduduk kampung untuk memahami dengan lebih dekat realiti kehidupan masyarakat desa, khususnya di Kampung Rantau Panjang,” katanya.

Zainudin berkata program dengan kerjasama KWSP itu, julung kali diadakan dan bakal diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha mendekati lebih ramai komuniti luar bandar di seluruh negara.

Turut hadir bersama lebih 500 penduduk kampung pada program itu ialah Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya Berhad Jack Yap Ngee Heong, Pengurus KWSP Cawangan Seberang Jaya Mohd Majdy Said dan Pengerusi Kariah Masjid Jamek Kampung Rantau Panjang Zainal Abidin Omar.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2571324