KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Ibu bapa perlu mengamalkan komunikasi terbuka dengan kanak-kanak dan remaja bagi membantu mereka menangani risiko dalam talian dengan selamat.
Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) Mediha Mahmood berkata generasi muda masa kini sangat bijak dan mempunyai keupayaan berfikir secara kritis, menjadikan penglibatan berterusan dan juga perbincangan bersama mereka lebih berkesan berbanding pendekatan “ikut sahaja apa saya cakap”.
“Hanya dengan memberitahu kanak-kanak, ‘Kamu tidak boleh menggunakan ini kerana saya berkata demikian’ jarang berkesan. Ia tidak berkesan untuk kita ketika kita masih muda dan ia lagi kurang berkesan bagi generasi hari ini,” katanya dalam program Bernama TV bertajuk “Keselamatan Digital Bermula Dari Rumah” baru-baru ini.
Mediha berkata ibu bapa perlu terus memainkan peranan aktif dalam mempersiapkan anak-anak mereka untuk melayari ruang dalam talian dengan selamat kerana kerana penyekatan sahaja mungkin tidak dapat menangani semua cabaran dihadapi kanak-kanak dalam talian.
Menurutnya lagi, "Kesilapan terbesar yang boleh dilakukan adalah dengan menutup pintu perbincangan dan melarang mereka begitu sahaja. Risikonya, mereka akan mula meneroka perkara tersebut di luar pengetahuan kita, mendapat akses di luar rumah, dan akhirnya terlalu takut untuk bersuara apabila ditimpa masalah".
Mediha turut menekankan kepentingan mewujudkan persekitaran yang selamat di rumah supaya kanak-kanak berasa selesa untuk mendekati ibu bapa mereka sekiranya berdepan dengan masalah atau melakukan kesilapan dalam talian.
Beliau mengetengahkan ketersediaan ciri keselamatan melalui reka bentuk (safety-by-design) dan alat kawalan ibu bapa pada banyak platform digital yang boleh membantu ibu bapa melindungi anak-anak mereka dengan lebih baik.
“Teknologi sepatutnya membantu ibu bapa dengan menyediakan ciri keselamatan dan perlindungan walaupun ibu bapa tidak berada bersama anak-anak secara fizikal. Teknologi itu tersedia dan ibu bapa perlu memanfaatkannya,” katanya.
Mediha turut merujuk kepada inisiatif yang dilaksanakan oleh platform digital bagi membantu ibu bapa memahami dan menggunakan alat keselamatan dalam talian yang tersedia dengan lebih berkesan.
Merujuk kepada kempen #ThinkTwice oleh TikTok, beliau berkata inisiatif itu mendapat sambutan dalam kalangan ibu bapa kerana menyediakan panduan praktikal mengenai cara menggunakan ciri keselamatan digital.
“Saya amat menyukai kempen yang dijalankan oleh TikTok. Kempen itu benar-benar dekat dengan ibu bapa. Ibu bapa sering berasa sangat bimbang dan tertekan. Apa yang dilakukan oleh kempen ini ialah membimbing ibu bapa langkah demi langkah tentang cara menggunakan alat-alat ini,” katanya.
Mediha berkata inisiatif sedemikian bukan sahaja membantu mendidik masyarakat, malah mewujudkan saluran maklum balas yang membolehkan platform teknologi memahami kebimbangan ibu bapa dengan lebih baik serta menambah baik ciri keselamatan mereka secara berterusan.
-- BERNAMA