IPOH, 20 Jun (Bernama) -- Sebanyak 20 mangsa, termasuk tiga bayi dan ibu mengandung yang terkandas akibat kejadian kepala air di Kampung Ulu Geruntum, Kuala Razila, Gopeng semalam berjaya dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Bandaraya Gopeng hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata operasi itu berjaya memindahkan kesemua mangsa yang terperangkap selepas jambatan utama yang menghubungkan kawasan penempatan mereka runtuh akibat arus deras.
Beliau berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 11.57 pagi sebelum 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dan agensi lain dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Ketua operasi melaksanakan size up seterusnya mengarahkan anggota melakukan kerja-kerja penyelamatan menggunakan tali dan bantuan bot rafting dari Kuala Razila Resort.
“Anggota kami membantu mangsa memakai peranti pengapungan peribadi keluar dari lokasi dan dipindahkan dengan selamat ke PPS di Dewan Bandaraya Gopeng. Operasi menyelamat dan membawa mangsa ke PPS ditamatkan sepenuhnya pada 2.15 petang,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata paras air berkedalaman 1 meter dan jarak antara tebing sungai adalah 50 meter manakala arus yang sedikit deras ketika membawa mangsa menyeberangi sungai di lokasi itu.
Semalam, kejadian kepala air yang berlaku menyebabkan jambatan utama di kampung berkenaan runtuh, sekali gus memutuskan laluan keluar masuk penduduk dan menyebabkan mangsa terkandas.
-- BERNAMA