EKONOMI

Malaysia Mampu Sumbang Sehingga 20 Peratus Kepada Kapasiti RE Gentari Dalam Lima Hingga 10 Tahun

19/06/2026 06:51 PM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUANTAN, 19 Jun (Bernama) -- Gentari Sdn Bhd menjangkakan Malaysia akan menyumbang antara 10  dan 20 peratus daripada kapasiti tenaga boleh baharu (RE) dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, disokong oleh prospek pertumbuhan domestik yang lebih kukuh termasuk dasar kerajaan yang menyokong.

Ketua syarikat penyelesaian RE di Malaysia dan Asia Tenggara itu, Syed Malek Faisal Syed Mohamad berkata Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan lebih kukuh apabila inisiatif serta projek RE baharu dilancarkan.

Dasar dan rangka kerja kawal selia Malaysia yang semakin baik termasuk inisiatif seperti Skim Bekalan RE Korporat (CRESS), Mekanisme Pengagregatan RE Komuniti (CREAM), Skim Insentif Solar untuk Rakyat (SolaRIS) dan program Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri Berskala Utiliti (BESS), akan mempercepatkan pertumbuhan selain menggalakkan lebih banyak pelaburan.

“Pada masa ini, India adalah pasaran terbesar kami. Namun, dengan program seperti itu, kami boleh melaksanakan lebih banyak projek di Malaysia. Kami mengunjurkan pertumbuhan yang lebih mantap di sini,” katanya kepada pemberita selepas lawatan media ke loji tenaga solar 10 megawatt (MW) Voltage Renewables Sdn Bhd (VGSB) di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan.

Menurut Gentari, loji tenaga solar Gebeng VGSB telah ditauliahkan di bawah mekanisme Tarif Galakan (FiT) Malaysia pada Januari 2014, menjadikannya sebagai salah satu loji tenaga solar terawal di Pahang. Kemudahan itu, kini di bawah bidang kuasa Gentari, merangkumi 29,960 modul solar merentasi kawasan fotovoltan seluas 50,569 meter persegi.

Di peringkat global, Gentari telah mencapai kapasiti RE terpasang dan dalam pembinaan terkumpul sebanyak 9.1 gigawatt (GW).

“Daripada kapasiti 9.1 gigawatt Gentari yang sama ada beroperasi atau dalam pembinaan, sekurang-kurangnya 80 peratus terdiri daripada solar,” tambah Syed Malek.

Beliau ketika mengulas mengenai permintaan pasaran berkata perkembangan pesat “hyperscalers” dan pusat data di Malaysia akan memacu permintaan yang ketara untuk elektrik mesra alam. “Kami melihat lonjakan permintaan datang daripada hyperscaler dan pusat data, dan kami sedang membangunkan beberapa projek untuk menyokong pertumbuhan ini,” katanya.

Malaysia menyasarkan RE untuk menyumbang sebanyak 70 peratus daripada kapasiti penjanaan tenaga terpasangnya menjelang 2050 di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional.

Syed Malek memberitahu teknologi solar sudah agak matang, dengan teknologi seperti kecerdasan buatan telah digunakan untuk menambah baik ramalan cuaca dan mengoptimumkan pengurusan ladang solar. Beliau berkata Malaysia juga kini berada dalam kedudukan yang lebih baik berbanding sebelum ini dalam sektor RE, berikutan pengenalan pelbagai dasar serta mekanisme baharu bagi menyokong agenda peralihan tenaga kebangsaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2570578