KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat berikutan aktiviti pengambilan untung sederhana dalam saham-saham berkaitan indeks, meskipun Wall Street mencatatkan kenaikan semalaman.
Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 10.77 mata kepada 1,700.62 daripada 1,711.39 ketika ditutup semalam, selepas dibuka 7.35 mata lebih rendah pada 1,704.04.
Sentimen pasaran bagaimanapun positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 215 berbanding 193, manakala 296 kaunter tidak berubah, 2,032 tidak diniagakan dan 34 digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 274.46 juta saham bernilai RM168.66 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street kembali pulih apabila sentimen pasaran semakin stabil susulan pendirian tegas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) yang diumumkan pada Rabu.
Beliau berkata FBM KLCI ditutup hampir mendatar semalam dan jauh daripada paras tertinggi harian 1,722 mata berikutan aktiviti jualan pada penghujung dagangan yang dipercayai dilakukan oleh dana asing.
“Melangkah ke hadapan, kami percaya aktiviti dagangan akan kekal sederhana dan menjangkakan indeks bergerak dalam julat 1,705 hingga 1,715 hari ini,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM11.12, Public Bank turun 13 sen kepada RM4.87, manakala Tenaga Nasional naik enam sen kepada RM14.50, CIMB merosot lapan sen kepada RM7.70 dan IHH Healthcare berkurangan tiga sen kepada RM8.74.
Bagi saham aktif, Dagang NeXchange Bhd meningkat 2.5 sen kepada 41 sen, Tanco Holdings Bhd menambah setengah sen kepada 15 sen dan Top Glove Corp Bhd naik satu sen kepada 73 sen.
Sementara itu, Sum Technology susut 1.5 sen kepada 51 sen manakala Borneo Oil tidak berubah pada setengah sen.
Dalam kalangan kaunter untung utama, Malaysian Pacific Industries Bhd meningkat 94 sen kepada RM49.50, UWC Bhd naik 21 sen kepada RM6.32, United Plantations Bhd menambah 20 sen kepada RM32 dan UMS Integration Ltd mengukuh 18 sen kepada RM8.88.
Bagi kaunter rugi utama, Hong Leong Bank Bhd susut 22 sen kepada RM21.96, Paragon merosot 13 sen kepada RM1.58, Petronas Chemicals Group Bhd turun 12 sen kepada RM4.46 dan Press Metal Aluminium Holdings Bhd berkurangan sembilan sen kepada RM8.43.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 55.29 mata kepada 12,607.97, Indeks FBM Top 100 susut 58.70 mata kepada 12,444.91 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 14.39 mata kepada 12,475.32.
Bagaimanapun, Indeks FBM Mid 70 meningkat 0.89 mata kepada 18,091.70 dan Indeks FBM ACE menokok 13.61 mata kepada 4,773.88.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 197.14 mata kepada 20,080.0, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.0 mata kepada 189.71 dan Indeks Tenaga turun 3.65 mata kepada 758.77, sebaliknya, Indeks Perladangan naik 13.38 mata kepada 8,780.83.
-- BERNAMA