AM

The Ascent, Paradigm PJ Peroleh Pensijilan “GreenRE Gold”

18/06/2026 09:27 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- The Ascent, Paradigm PJ, sebuah menara pejabat korporat Gred A setinggi 32 tingkat yang dibangunkan dan diuruskan oleh WCT Land Sdn Bhd menerima anugerah pensijilan GreenRE Gold bagi kategori Bangunan Bukan Kediaman.

Dalam satu kenyataan hari ini, WCT Holdings Berhad memaklumkan bahawa pencapaian itu amat bermakna dalam perjalanan syarikat ke arah kelestarian. 

WCT Land ialah unit pembangunan, pelaburan dan pengurusan hartanah di bawah WCT Holdings Berhad.

Pensijilan oleh GreenRE Malaysia pada awal 2026 itu, mengiktiraf prestasi alam sekitar aset pejabat berusia 10 tahun berkenaan, selepas penambahbaikan dalam pengurusan tenaga, kecekapan air, kualiti persekitaran dalaman serta operasi bangunan. 

“Dianugerahkan oleh GreenRE, pensijilan ini mengiktiraf bangunan yang mempunyai prestasi alam sekitar yang kukuh merangkumi teras kelestarian utama, termasuk kecekapan tenaga, kecekapan air, pengurangan pelepasan karbon, perlindungan alam sekitar serta kualiti persekitaran dalaman,” menurut kenyataan itu.

Antara inisiatif yang dilaksanakan di The Ascent adalah dasar pengurusan tenaga, pelan penjimatan tenaga jangka sederhana, menaik taraf lampu LED di kawasan umum, operasi lif cekap tenaga, audit kualiti udara dalaman, yang mematuhi keperluan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) serta pemantauan air melalui sistem submeter.

Bangunan berkenaan turut menawarkan kemudahan kitar semula dan pengasingan sisa, manakala parkir bertingkat yang mempunyai pengudaraan semula jadi serta ruang pejabat yang direka bagi memaksimumkan pemandangan luar menyumbang kepada kecekapan tenaga lebih baik, keselesaan dan kesejahteraan penghuni secara keseluruhan.

Pengarah Urusan Kumpulan WCT Holdings Berhad Datuk Lee Tuck Fook berkata pencapaian itu mencerminkan komitmen kumpulan dalam mengintegrasikan prinsip reka bentuk mampan dalam pembangunan bandar.

“Pencapaian ini selaras dengan komitmen bahagian Pembangunan Hartanah untuk mengintegrasikan prinsip reka bentuk hijau dalam semua pembangunan.

“WCT Land telah menetapkan sasaran untuk mendapatkan pensijilan bangunan hijau bagi semua pembangunan baharu, kecuali perumahan mampu milik bermula 2025, dengan memenuhi atau melepasi penarafan minimum, iaitu gangsa di bawah GreenRE.

“Mencapai GreenRE Gold bagi The Ascent menunjukkan bahawa kelestarian bukan terhad kepada pembangunan baharu.

“Dengan menambah baik aset sedia ada, kami dapat memanjangkan jangka hayat bangunan, meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh komitmen terhadap pembangunan hartanah yang bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi WCT Holdings Berhad (Pembangunan Hartanah) Chong Wah Hing berkata pensijilan itu memperlihatkan fokus kumpulan terhadap usaha mewujudkan ruang kerja yang cekap dan bersedia untuk masa hadapan. 

“Pensijilan GreenRE Gold bagi The Ascent mencerminkan fokus kami untuk mewujudkan bangunan yang menggabungkan prestasi alam sekitar dengan menawarkan pengalaman yang lebin menarik kepada penyewa.

“Melalui naik taraf yang teliti dan amalan lestari, kami meningkatkan kualiti serta kecekapan aset bagi memenuhi jangkaan pengguna yang sentiasa berubah-ubah,” katanya.

Menurut WCT Holdings Berhad, pengiktirafan itu sejajar dengan agenda kemampanan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, yang menggariskan aspirasi  untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050.

Peningkatan kepentingan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) mendorong pertambahan permintaan terhadap bangunan pejabat yang mempunyai pensijilan hijau dalam kalangan organisasi yang mencari tempat kerja mesra alam.

Selain The Ascent, beberapa pembangunan lain WCT Land turut memperoleh pensijilan GreenRE, termasuk Aras Residences dan Pavilion Mont’ Kiara yang menerima pensijilan GreenRE Silver, manakala The Maple Residences memperoleh pensijilan GreenRE Bronze dan Adison Serviced Apartments dianugerahkan pensijilan GreenRE Bronze.

Pengiktirafan berkenaan mencerminkan usaha berterusan mereka untuk menerapkan kelestarian dalam fasa reka bentuk, pembinaan dan operasi pembangunan mereka, selaras dengan strategi jangka panjang kumpulan bagi menyampaikan projek yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar serta memberikan nilai berkekalan kepada penyewa, pelabur dan komuniti.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2570153