KUALA LUMPUR, June 18 (Bernama) -- Ketua jurulatih skuad kebangsaan Peter Cklamovski dan pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) negara Nafuzi Zain hari ini mengumumkan pengunduran mereka daripada jawatan masing-masing.
Cklamovski yang membimbing skuad Harimau Malaya merakamkan penghargaan kepada semua pihak menerusi laman rasmi Malaysia NT sambil memaklumkan bahawa sudah tiba masanya untuk beliau menyahut cabaran baharu.
"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak atas sokongan yang diberikan serta memahami keputusan saya bahawa sudah tiba masanya untuk saya menyahut cabaran baharu," katanya.
Mengimbas perjalanannya bersama pasukan kebangsaan, jurulatih kelahiran Australia itu memuji komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan pemain serta barisan kejurulatihan sepanjang tempoh berkenaan dengan matlamat bersama untuk mengharumkan nama negara.
"Penghargaan tidak terhingga saya tujukan kepada para pemain dan kakitangan yang telah memberikan sepenuh komitmen sepanjang perjalanan ini. Setiap sesi latihan, setiap perlawanan dan setiap detik dilalui bersama didorong oleh matlamat yang sama iaitu membanggakan Malaysia," katanya.
Beliau turut menekankan potensi besar bola sepak negara dan kepentingan memelihara budaya sukan itu demi pembangunan masa depan.
"Bola sepak Malaysia mempunyai potensi luar biasa. Semangat penyokong, bakat pemain dan kecintaan terhadap sukan ini adalah sesuatu yang perlu sentiasa dipelihara. Harapan saya agar bola sepak Malaysia terus berkembang, dengan setiap keputusan dibuat berpandukan kepada apa yang terbaik untuk sukan ini, para pemain dan masa depan negara," katanya.
Sementara itu, arena bola sepak negara turut dikejutkan dengan pengunduran Nafuzi sebagai ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, yang mengakui keputusan meninggalkan pasukan itu bukan sesuatu yang mudah.
"Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam perjalanan karier saya. Terutamanya kepada pihak pengurusan, staf sokongan serta pemain dan juga penyokong yang sentiasa ada di belakang saya memberi sokongan dan semangat yang tidak berbelah bahagi,” katanya.
Meskipun tidak lagi bersama pasukan itu, Nafuzi tetap optimis terhadap masa depan skuad muda negara yang disifatkannya sebagai aset paling berharga negara.
Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan kontrak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan, Robert Douglas Friend atau Rob Friend, ditamatkan secara persetujuan bersama berkuat kuasa 1 Jun lepas.
Kontrak Cklamovski bersama dua anggota barisan teknikal skuad senior Matthew Smith dan Seiya Imazaki, turut ditamatkan secara persetujuan bersama berkuat kuasa 16 Jun.
FAM turut memaklumkan kontrak Nafuzi dan jurulatih penjaga gol skuad B-23 negar ,Mohd Yazid Mohd Yassin, ditamatkan secara persetujuan bersama berkuat kuasa 15 Jun.
Badan induk bola sepak negara itu memaklumkan sebarang perkembangan lanjut berhubung pengurusan pasukan kebangsaan akan diberitahu dari semasa ke semasa.
— BERNAMA