EKONOMI

AT&S Labur Sehingga €2 Bilion Di Kulim Perkukuh Malaysia Sebagai Destinasi Pelaburan Teknologi Berimpak Tinggi

16/06/2026 03:31 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Keputusan AT&S untuk memperluas operasinya di Kulim, Kedah melalui pelaburan baharu sehingga €2 bilion (€1 = RM4.69) akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan teknologi berimpak tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di laman X hari ini, beliau berkata pelaburan ini turut dijangka memperkukuh lagi ekosistem semikonduktor negara dan membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat Malaysia.

“Alhamdulillah, pertemuan dan perbincangan yang berlangsung pada awal Jun membuahkan hasil apabila AT&S mengumumkan hasrat untuk memperluas operasinya di Kulim, Kedah,” kata beliau.

Anwar berkata keyakinan pelabur antarabangsa seperti AT&S membuktikan bahawa dasar yang jelas, kestabilan politik, tatakelola yang baik serta iltizam kerajaan untuk memacu transformasi ekonomi meletakkan Malaysia di landasan tepat sebagai destinasi utama pelaburan teknologi maju dan pusat pertumbuhan ekonomi baharu di rantau ini. 

“Perkembangan ini amat bermakna dalam menjulang semangat saling percaya dan komitmen terhadap masa depan ekonomi digital negara yang kini diterjemahkan melalui pelaburan yang nyata serta berimpak tinggi kepada negara,” kata beliau.

Anwar mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh pengeluar papan litar Austria, AT&S di laman webnya berhubung komitmen syarikat itu untuk melabur antara €1.5 bilion dan €2.0 bilion bagi memperluas tapak pengeluarannya di Kulim.

Ketua Pegawai Eksekutif AT&S Michael Mertin berkata pengembangan kemudahan di Kulim mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan syarikat dan komitmen bersama mereka terhadap pertumbuhan jangka panjang yang menggalakkan.

“Kepimpinan teknologi kami, kerjasama kukuh dengan pemain global dalam industri semikonduktor dan keupayaan terbukti untuk meningkatkan kemudahan pembuatan termaju menjadikan kami sebagai rakan pilihan untuk gelombang pertumbuhan seterusnya,” katanya.

Ketua Pegawai Kewangan AT&S Gerrit Steen berkata pelaburan €1.5 hingga 2.0 bilion itu disokong dan dibiayai sepenuhnya melalui komitmen pelanggan untuk tempoh jangka panjang.

“Kami sedang menstrukturkan perjanjian ini untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang dan mengekalkan disiplin kewangan.

“Pada masa yang sama, mereka menyokong matlamat kami untuk memperkukuh lagi lembaran imbangan dan fleksibiliti kewangan kami,” katanya.

AT&S mengumumkan pengembangan tapak pengeluarannya di Kulim berdasarkan perjanjian dengan pelanggannya, AMD dan satu lagi syarikat teknologi terkemuka.

Langkah ini menyokong kedudukan AT&S yang kukuh dalam bidang teknologi dan meningkatkan kerjasama jangka panjangnya dengan pelanggan utama dalam industri semikonduktor.

Berdasarkan kejayaan peningkatan pengeluaran di kilang 1, pengembangan itu meliputi kerja-kerja melengkapkan struktur kilang 2 yang sedia ada serta membina kemudahan pembuatan baharu untuk teras substrat litar bersepadu dan papan litar bercetak termaju.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2569123