AM

Fahmi Teruskan Ziarah Kasih, Santuni Warga Emas

13/06/2026 06:53 PM

KUALA PILAH, 13 Jun (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini meneruskan program Ziarah Kasih dengan menyantuni dua warga emas yang berdepan masalah kesihatan di Seri Menanti di sini.

Beliau menziarahi Umi Kalsum Adam, 70, yang berdepan masalah saraf serta radang mulut kronik dan Hussin Tahir, 94, yang mengalami masalah saraf dan pendengaran, selain bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda.

Fahmi turut menyampaikan sumbangan sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.

Beliau berkata program Ziarah Kasih penting bagi membolehkan pemimpin melihat sendiri keadaan sebenar rakyat di peringkat akar umbi.

“Inisiatif ini penting seperti yang sering ditegaskan Perdana Menteri... menteri-menteri kena turun ke lapangan untuk lihat sendiri keadaan… bagaimana manfaat itu dapat sampai ke sasaran,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan.

Fahmi berkata inisiatif berkenaan akan diteruskan melalui jaringan Komuniti MADANI bagi memperkukuh penyampaian bantuan serta mengenal pasti keperluan rakyat secara lebih dekat dan berkesan.

Dalam pada itu, Hussin yang juga bekas bilal meluahkan rasa terharu serta bersyukur atas kunjungan dan sumbangan yang dihulurkan kepadanya.

“Terima kasih kerana sudi datang sampai ke kampung… saya sangat terharu,” katanya.

Sementara itu, Fahmi meneruskan siri lawatan kerja strategik beliau dengan meluangkan masa di Kompleks Rakan Muda di sini bagi menyantuni lebih 350 peserta acara sukan di Karnival Pilah Sejahtera.

Pelbagai aktiviti sukan diadakan di pekarangan kompleks itu antaranya pertandingan sepak takraw, bola jaring dan sepakan penalti bola sepak.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2568194