KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Hasrat skuad hoki lelaki negara untuk meneruskan momentum kemenangan dalam saingan Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2025-2026 tidak kesampaian apabila tewas 1-4 kepada Jepun dalam perlawanan kedua Kumpulan A di Cape Town Afrika Selatan, awal pagi tadi.
Pada aksi berkenaan Speedy Tigers bermula cemerlang apabila penyerang berpengalaman Faizal Saari meletakkan pasukan negara di hadapan menerusi gol padang seawal minit ketiga.
Bagaimanapun, Jepun bangkit menguasai permainan dengan menyamakan kedudukan menerusi jaringan pukulan sudut penalti Hyota Yamada pada minit ke-27.
Dua minit kemudian, Kazumasa Matsumoto meledak gol padang untuk meletakkan Jepun di hadapan 2-1 sebelum tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Jepun terus menambah tekanan buat pasukan negara apabila berjaya melebarkan jurang menerusi gol padang Tsubasa Tanaka pada minit ke-51.
Raiki Fujishima kemudian melengkapkan kemenangan Jepun apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-56.
“Sudah tentu saya amat kecewa kerana kami sudah berada di landasan yang betul. Saya simpati terhadap para pemain kerana mereka telah bekerja keras, namun kami akan bangkit dengan lebih baik selepas ini.
“Kami akan kaji apa yang silap dan cuba mengatasinya sebaik mungkin bagi memastikan kami bersedia untuk perlawanan seterusnya menentang New Zealand,” kata ketua jurulatih skuad hoki negara Brendan Carolan menerusi video yang dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia kini berada pada kedudukan ketiga dengan mengumpul tiga mata hasil kemenangan menentang Scotland pada Khamis.
Selepas ini anak buah Brendon Carolan akan turun bertemu New Zealand pada Selasa sebelum menamatkan aksi peringkat kumpulan menentang Korea Selatan pada Rabu.
Berdasarkan format perlawanan hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke pusingan separuh akhir.
-- BERNAMA