AM

SPAN Kesan Premis Abai Kerja Pengosongan Tangki Septik

10/06/2026 06:07 PM

IPOH, 10 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengesan terdapat premis yang tidak pernah menjalankan kerja pengosongan tangki septik hingga 20 tahun, sekali gus menimbulkan risiko pencemaran alam sekitar dan kesihatan awam.

Pengarah Seksyen Penguatkuasaan Bahagian Operasi SPAN Ainal Yusman Mohamad Yusop berkata kebanyakan kes berkenaan berpunca daripada pertukaran pemilik premis, kegagalan mengambil maklum notis dikeluarkan serta kurangnya kesedaran mengenai kepentingan penyelenggaraan sistem pembetungan.

“Ada yang sudah melebihi dua kitaran pengosongan dan ada juga premis didapati tidak pernah menjalankan kerja pengosongan hingga 20 tahun.

"Apabila tangki septik yang tidak dikosongkan secara berkala maka ia akan kehilangan keupayaan untuk merawat air kumbahan dengan sempurna, menyebabkan air separa terawat mengalir ke longkang dan parit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Ops Kejar 1 yang dijalankan bersama Indah Water Konsortium (IWK) di Kawasan Perindustrian Mengelembu dan turut dihadiri Ketua Wilayah Utara Jabatan Perniagaan Nyahenap Cemar IWK Wan Abdul Jalil Wan Husain.

Ainal Yusman berkata pemilik premis sebenarnya hanya perlu menjalankan kerja pengosongan tangki septik sekali setiap dua tahun selepas menerima notis daripada IWK.

Beliau berkata sekiranya pemilik premis tidak memberikan maklum balas terhadap notis pertama, notis susulan akan dikeluarkan sebelum kes diserahkan kepada SPAN untuk tindakan penguatkuasaan.

“Selama ini kita banyak memberi peluang, namun kegagalan mematuhi arahan itu semakin menjadi kebiasaan dalam kalangan sesetengah pemilik premis, justeru, undang-undang perlu dikuatkuasakan,” katanya.

Menurutnya, kos pengosongan tangki septik tidak membebankan kerana perkhidmatan itu hanya perlu dilakukan sekali dalam tempoh dua tahun, selain kadar caj dikenakan bergantung kepada kategori premis.

Sementara itu, SPAN telah memeriksa 315 premis di kawasan Perindustrian Menglembu dan Chandan Jaya di sini hari ini, menerusi Ops Kejor 1 bagi mengesan premis yang gagal melaksanakan pengosongan tangki septik secara berjadual.

Operasi dijalankan bersama IWK mulai hari ini hingga 12 Jun itu, menyasarkan premis yang gagal mematuhi notis pemberitahuan pengosongan tangki septik dikeluarkan sebelum ini.

Menurutnya, operasi berkenaan merupakan yang keempat dilaksanakan SPAN dan IWK selepas Ops Kasturi di Melaka, Ops Mutiara di Pulau Pinang dan Ops Haruman di Perlis.

Ainal Yusman berkata di bawah Seksyen 65(1)(c) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), pemilik tangki septik diwajibkan menyelenggara sistem berkenaan dengan melantik pemegang lesen perkhidmatan pembetungan atau pemegang Permit E bagi menjalankan kerja nyahenap cemar mengikut tempoh ditetapkan.

"Mana-mana individu yang gagal mematuhi peruntukan itu boleh dikenakan denda hingga RM50,000 jika disabitkan kesalahan manakala Seksyen 66(1)(a) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, pemilik yang bertanggungjawab boleh didenda RM50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.

"SPAN akan memberi tempoh dua minggu kepada pemilik premis yang menerima notis pematuhan untuk mengambil tindakan sebelum langkah penguatkuasaan lanjut dilaksanakan.

Katanya, sehingga 2025 terdapat kira-kira 1.38 juta tangki septik individu di seluruh negara termasuk Wilayah Persekutuan Labuan, dengan 258,650 daripadanya berada di Perak.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2567048