KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mengeluarkan kata-kata kesat dan merakam video anggota polis yang sedang menjalankan tugas penguatkuasaan trafik di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Basri Sagoni berkata suspek, 25, ditahan di sebuah premis perniagaan di Jalan Dato Senu pada 2.36 pagi tadi susulan insiden pada 8.24 pagi semalam melibatkan tindakan seorang anggota polis mengeluarkan saman ke atas sebuah kereta bagi kesalahan lalu lintas.
"Semasa tindakan penguatkuasaan, pemilik kenderaan itu menghampiri anggota polis berkenaan, merakam video menggunakan telefon bimbit, melakukan provokasi dan melontarkan kata-kata kesat kerana tidak berpuas hati disaman," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek mengaku merakam anggota polis itu, dan video berkenaan dipercayai ditularkan di beberapa platform media sosial.
Basri berkata polis turut merampas sebuah telefon bimbit berserta kad SIM yang dipercayai digunakan dalam insiden itu manakala ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah.
”Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 11 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” katanya.
-- BERNAMA