AM

MBKT Kompaun 23 Premis Dikendalikan Warga Asing Beroperasi Tanpa Lesen

09/06/2026 06:37 PM

KUALA TERENGGANU, 9 Jun (Bernama) -- Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mengeluarkan kompaun terhadap 23 premis perniagaan dikendalikan warga asing bagi tempoh Januari hingga bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata kesemua premis itu melibatkan 18 premis cucian kenderaan dan lima premis runcit yang didapati beroperasi tanpa lesen sah dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Tindakan kompaun RM1,000 telah dikenakan bagi setiap kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1) MBKT kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Wan Sukairi yang menyokong kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berkata isu penyalahgunaan visa oleh warga asing untuk menjalankan perniagaan merupakan satu pelanggaran undang-undang yang serius dan tidak boleh dikompromi.

Perkara itu, katanya bukan sahaja menjejaskan ekonomi tempatan tetapi juga turut mewujudkan persaingan tidak sihat kepada peniaga tempatan yang membayar lesen dan cukai dengan patuh.

"Isu keselamatan dan kedaulatan juga boleh berlaku apabila kehadiran perniagaan tanpa izin ini sering kali mencetuskan masalah sosial dan ketenteraman awam di kawasan setempat,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri mengarahkan pelbagai kementerian dan agensi mengambil tindakan tegas serta menyeluruh bagi membanteras aktiviti perniagaan haram yang dijalankan warga asing serta penyalahgunaan visa dan lesen perniagaan tempatan.

Anwar berkata kerajaan menyedari ancaman ditimbulkan segelintir warga asing yang memasuki negara ini menggunakan visa pelawat atau pelancong, namun menjalankan aktiviti perniagaan termasuk dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

 Mengulas lanjut, Wan Sukairi turut memberi amaran kepada mana-mana peniaga tempatan yang menyewakan lesen perniagaan kepada warga asing akan berdepan dengan tindakan pembatalan lesen.

Sementara itu, Datuk Bandar MBKT Lizan Che Mat berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen perniagaan kepada warga asing dan menegaskan bahawa pemantauan dan penguatkuasaan diteruskan bagi memastikan tidak berlaku penyalahgunaan lesen perniagaan.

Selain itu, Lizan berkata MBKT turut menyita tiga premis perniagaan runcit dikendalikan warga asing dalam operasi penguatkuasaan di lot perniagaan berhampiran Terminal Bas MBKT, di sini.

 Pemeriksaan yang dijalankan mendapati tiga premis berkenaan beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah, sekali gus melanggar peraturan di bawah Undang-Undang Kecil 3(1), Undang-Undang Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBKT 2013.

Susulan itu katanya, semua peralatan dan barangan jualan yang disita telah dibawa ke Stor Rampasan Bahagian Penguatkuasaan dan Perkhidmatan Letak Kereta MBKT di Chendering dekat, sini untuk tindakan lanjut.

"Operasi dijalankan dari 11 pagi hingga 1.30 tengah hari tadi di sekitar Terminal Bas MBKT susulan aduan orang ramai. Tindakan penyitaan telah dilaksanakan mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil 38, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBKT) 2013.

"Siasatan mendapati premis tersebut didaftarkan atas nama rakyat tempatan, tetapi operasi harian dikendalikan oleh pekerja warga asing," katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2566621