KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mempromosi atau menjalankan aktiviti judi dalam talian sempena Piala Dunia FIFA 2026 yang bermula Khamis ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memperketatkan pemantauan bagi membendung aktiviti perjudian dalam talian di negara ini.
"MCMC akan mengambil tindakan dan orang awam jika terlihat sebarang pautan atau kandungan melibatkan judi dalam talian boleh mengemukakan aduan untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media selepas sesi Persidangan Meja Bulat Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab Berkaitan Tingkah Laku Bunuh Diri, di sini hari ini.
Persidangan itu turut dihadiri Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata tindakan penguatkuasaan tidak hanya terhad kepada aplikasi malah merangkumi laman web perjudian yang cuba mengambil kesempatan sepanjang kejohanan itu.
Piala Dunia FIFA 2026 akan bermula di Stadium Mexico City di Mexico dengan menyaksikan perlawanan antara Mexico menentang Afrika Selatan, manakala perlawanan akhir akan diadakan di Stadium MetLife New Jersey, Amerika Syarikat pada 19 Julai.
-- BERNAMA