KUALA NERUS, 8 Jun (Bernama) -- Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyalurkan bantuan sebanyak RM3 juta kepada hampir 2,000 penuntut bagi sesi akademik 2025/2026.
Naib Canselor UniSZA Profesor Datuk Dr Fadzli Adam berkata sumbangan diberi dalam pelbagai bentuk termasuk tajaan, biasiswa, dermasiswa, kebajikan dan program pembangunan mahasiswa.
Beliau berkata dana bantuan itu diperoleh melalui kerjasama erat dengan pelbagai pihak termasuk syarikat korporat, yayasan pendidikan, institusi kewangan dan rakan strategik lain.
“Program Dapo@MAIDAM mencatatkan jumlah penerima tertinggi, iaitu 700 penuntut dengan peruntukan sebanyak RM703,500 manakala Program Dermasiswa memberi manfaat kepada 500 mahasiswa melalui agihan baucar makanan e-kupon berjumlah RM250,000.
“Selain itu program Job on Campus yang dilaksanakan melalui Tabung Kebajikan Perlindungan Mahasiswa (TKPM) memberi peluang kepada 599 penuntut menjana pendapatan sampingan sambil menimba pengalaman kerja sepanjang tempoh pengajian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadzli berkata pemberian pelbagai bantuan itu selari dengan dasar dan agenda kerajaan MADANI bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan mahasiswa diberi keutamaan serta terus terpelihara.
-- BERNAMA