SUKAN

Dr Mohamed Taufiq Ucap Tahniah Kepada Sze Fei-Nur Izzuddin

08/06/2026 01:55 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Dr Mohamed Taufiq Johari mengucapkan tahniah kepada beregu lelaki negara Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani di atas kejayaan menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2026 semalam. 

Dr Mohamed Taufiq menerusi hantaran di laman Facebook hari ini memaklumkan kejayaan itu menamatkan penantian 18 tahun Malaysia untuk muncul juara dalam acara beregu lelaki pada kejohanan berprestij berkenaan.

“Tahniah kepada beregu negara Goh Sze Fei-Izzuddin Rumsani atas kejayaan menjuarai Terbuka Indonesia 2026 semalam. Penantian 18 tahun negara akhirnya tamat,” katanya. 

Pada aksi final yang berlangsung di Istora Senayan semalam, pasangan ranking kelapan dunia itu mempamerkan aksi cemerlang untuk menewaskan pasangan Indonesia Raymond Indra-Nikolaus Joaquin 13-21, 21-19, 21-10 dalam pertarungan sengit, sekali gus menghadiahkan kejuaraan beregu lelaki kepada Malaysia buat kali pertama sejak edisi 2008.

Kejayaan itu turut mengukuhkan status Goh Sze Fei-Nur Izzuddin sebagai antara beregu lelaki terbaik dunia ketika ini serta menyuntik semangat kepada kontinjen negara menjelang beberapa kejohanan utama yang bakal berlangsung sepanjang musim ini.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2565992