EKONOMI

Khazanah, GLIC Perlu Terus Kenal Pasti Syarikat Seperti Skyechip Untuk Perkukuh Penerajuan Malaysia

05/06/2026 05:01 PM

Oleh M.Saraswathi

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Khazanah Nasional Bhd dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) lain perlu terus mengenal pasti lebih banyak syarikat berpotensi tinggi seperti SkyeChip Bhd untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam sektor teknologi pertumbuhan tinggi.

Ini terutamanya dalam sektor seperti semikonduktor, infrastruktur kecerdasan buatan (AI), elektronik canggih dan teknologi digital.

SkyeChip ialah syarikat reka bentuk litar bersepadu (IC) tanpa fabrikasi mengkhususkan dalam hartanah intelektual (IP) silikon dan produk silikon, yang mencatatkan dagangan sulung mengagumkan pada RM3.50 di Pasaran Utama Bursa Malaysia baru-baru ini, melonjak RM2.62 atau 297.7 peratus mengatasi harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 88 sen.

“Penyenaraian kukuh SkyeChip itu memperlihatkan peranan berkesan Khazanah dalam mengenal pasti aset teknologi strategik lebih awal, terutamanya dalam sektor yang berkaitan dengan semikonduktor, infrastruktur digital dan kejuruteraan lanjutan,” kata rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes.

Apa yang paling penting, pelaburan itu dibuat sebelum ledakan AI dan semikonduktor menjadi pilihan ramai pelabur, sekali gus mencerminkan kedudukan jangka panjang yang kukuh, katanya.

Sebelum penyenaraian, IPO syarikat itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelabur runcit, dengan 74,453 permohonan diterima bagi 3.45 bilion saham di bawah tranche awam Malaysia, mencatat kadar lebihan langganan sebanyak 95 kali ganda.

SkyeChip mengumpulkan sebanyak RM352 juta daripada pelaksanaan IPO itu.

“(kejayaan) SkyeChip itu juga menonjolkan peranan Dana Impak sebagai platform strategi pelaburan jangka panjang yang bertujuan memupuk inovator domestik yang penting secara strategik," katanya kepada Bernama.

Gobi Dana Impak Ventures Fund, yang diuruskan oleh Gobi Partners, merupakan dana modal teroka yang bertujuan untuk melabur dalam sektor pemangkin bagi meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia dan membina daya tahan negara.

Dana itu merupakan sebahagian daripada mandat Dana Impak Khazanah yang berjumlah RM3 bilion bagi tempoh lima tahun untuk menyokong syarikat pemula niaga, syarikat pertengahan dan ekosistem pembuatan canggih Malaysia.

Beliau berkata perniagaan berkaitan teknologi canggih dan semikonduktor biasanya memerlukan kitaran pembangunan yang lebih lama dan sokongan institusi sebelum nilai tersebut diiktiraf sepenuhnya oleh pasaran.

Katanya, dalam persekitaran semasa apabila rantaian bekalan global semakin tertumpu pada daya tahan dan penyetempatan, penting bagi Khazanah untuk terus mengembangkan pendedahannya kepada sektor teknologi pertumbuhan tinggi yang berkaitan dengan semikonduktor, infrastruktur AI dan automasi perindustrian.

Beliau berkata kejayaan SkyeChip itu juga menonjolkan kepentingan platform strategi pelaburan dalam membantu syarikat Malaysia berkembang di peringkat global.

Ini juga memberikan isyarat positif kepada pelabur domestik dan asing bahawa Malaysia mampu melahirkan firma teknologi yang berdaya saing melangkaui sektor pembuatan tradisional.

Bersandar kepada kejayaan ini Khazanah boleh meletakkan dirinya bukan sahaja sebagai pelabur tetapi juga pembina ekosistem yang membantu syarikat baharu dengan modal, perkongsian, keupayaan penyelidikan dan peluang pengembangan serantau.

“Satu pengajaran penting daripada kejayaan SkyeChip ialah syarikat yang berpotensi besar perlu dikenal pasti lebih awal sebelum nilai komersial mereka mula dikesan oleh pasaran yang lebih besar,” kata Innes.

Dalam sektor teknologi, penciptaan nilai cenderung meningkat dengan pesat apabila proses strategik dimulakan.

Innes berkata ini mengukuhkan lagi keperluan bagi  Khazanah untuk terus mempercepatkan pelaburan dalam sektor pertumbuhan tinggi yang penting secara strategik bagi transformasi ekonomi jangka panjang Malaysia.

Beliau juga berpandangan selain Khazanah, GLIC Malaysia yang lain juga boleh menyokong syarikat seperti SkyeChip dengan membantu mengukuhkan ekosistem pembiayaan inovasi domestik.

“Institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) boleh memainkan peranan melalui perkongsian modal jangka panjang, pelaburan bersama dan sokongan strategik untuk pengkomersialan dan pengembangan serantau.

"Membina jaguh teknologi yang berdaya saing di peringkat global memerlukan sokongan dari segi pembiayaan, pembangunan bakat, infrastruktur dan akses pasaran," kata Innes.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2565091