DUNIA

Lebih 100 Jerayawara "Export To China" Bakal Diadakan Sepanjang 2026

05/06/2026 02:41 PM

BEIJING, 5 Jun (Bernama-CMG) -- Kementerian Perdagangan China akan menganjurkan lebih 100 jerayawara "Export to China" sepanjang 2026 bagi mempromosi serta memperkenalkan produk berkualiti dari pelbagai negara kepada perusahaan dan pengguna di China.

Inisiatif itu turut menyediakan platform kepada syarikat antarabangsa untuk memperluas eksport ke pasaran China.

Perkara itu dimaklumkan oleh jurucakap kementerian berkenaan, He Yongqian pada sidang media di sini Khamis.

Kementerian Perdagangan China akan terlebih dahulu mengadakan jerayawara "Export to China" di Belarus pada 7 Jun, yang menjadi acara pertama seumpamanya di luar negara.

Acara seterusnya akan diadakan di Jerman pada 11 Jun, sekali gus menjadi jerayawara pertama "Export to China" di Kesatuan Eropah (EU).

Syarikat dari pelbagai negara dialu-alukan mengambil bahagian dalam siri jerayawara berkenaan, selain mengambil peluang hadir ke China sebagai pempamer dalam pelbagai acara perdagangan, termasuk Pameran Import Antarabangsa China (CIIE).

Syarikat antarabangsa juga boleh memanfaatkan platform dan saluran sedia ada bagi memperluas eksport ke China, sekali gus mewujudkan kerjasama yang saling menguntungkan, menurut kementerian itu. 

-- BERNAMA-CMG

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2565010