ISTANBUL, 4 Jun (Bernama-Anadolu) -- Seorang paramedik terkorban manakala seorang lagi cedera pada awal Khamis dalam serangan Israel yang menyasarkan pasukan perubatan di selatan Lubnan, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kementerian itu memaklumkan tentera Israel menyasarkan pasukan ambulans di bandar Zebdine di daerah Nabatieh.
Menurut kementerian itu, ia merupakan serangan keempat tentera Israel ke atas paramedik dan kemudahan perubatan dalam tempoh kurang 24 jam.
Serangan terbaharu itu berlaku ketika Israel dan Lubnan bersetuju melanjutkan gencatan senjata yang rapuh serta mewujudkan "zon perintis" yang akan memberikan Angkatan Tentera Lubnan kawalan tunggal ke atas wilayah dan mengecualikan semua aktor bukan negara semasa rundingan yang ditaja Amerika Syarikat (AS) di Washington, DC, pada Rabu.
Terdahulu, pegawai Lubnan dan Israel mengadakan pusingan keempat rundingan tajaan AS di Washington, DC, yang bertujuan mengekalkan gencatan senjata dan menangani isu keselamatan yang masih belum diselesaikan.
Israel terus melancarkan serangan udara dan serangan darat hampir setiap hari di Lubnan meskipun gencatan senjata telah berkuat kuasa pada 17 April lepas dan kemudiannya dilanjutkan hingga awal Julai.
Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, serangan Israel sejak 2 Mac telah mengorbankan 3,516 orang dan mencederakan 10,674 yang lain di seluruh negara itu.
Israel terus menduduki beberapa kawasan di selatan Lubnan, termasuk wilayah yang telah dikuasainya selama beberapa dekad serta kawasan yang ditawan semasa serangan Israel di Lubnan pada 2023-24, manakala tenteranya turut mara beberapa kilometer ke wilayah Lubnan dalam pertempuran semasa.
-- BERNAMA-ANADOLU