AM

Bomba Selamatkan Kucing Parsi Tersepit Pada Spring Kerusi Urut

03/06/2026 07:07 PM

IPOH, 3 Jun (Bernama) -- Seekor kucing Parsi diselamatkan anggota bomba selepas ekornya tersepit pada bahagian spring sebuah kerusi urut dalam kejadian di Taman Kinding Flora, Tanjung Rambutan di sini, semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada 2.52 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata anggota berkenaan yang tiba di lokasi pada 3.04 petang mendapati ekor kucing berbulu lebat itu tersepit pada spring kerusi urut sehingga tidak dapat melepaskan diri.

“Siasatan awal mendapati kucing tersebut dipercayai melompat ke atas pemiliknya sebelum terjatuh ke ruangan sempit pada mesin urut itu dan menyebabkan ekornya tersepit.

“Ketua operasi kemudian menjalankan penilaian situasi sebelum mengarahkan anggota melonggarkan skru yang memegang spring berkenaan bagi membolehkan kucing itu dikeluarkan dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata operasi menyelamat berjaya diselesaikan dalam tempoh 16 minit dan kucing tersebut diserahkan kepada pemiliknya dalam keadaan selamat.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2564369