TAPAH, 3 Jun (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih di sini akan diteruskan dengan pendekatan lebih tertumpu berdasarkan maklumat atau petunjuk baharu yang diterima.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarozi Nor Ahmad berkata meskipun operasi kini dijalankan dalam skala lebih kecil, pihaknya masih memantau perkembangan semasa dan bersedia menggerakkan pasukan ke lokasi tertentu.
“Operasi akan diteruskan melibatkan pasukan bomba yang melakukan semakan semula di kawasan yang telah diperiksa sebelum ini bagi mengesahkan lokasi-lokasi penting, termasuk laluan menuju puncak Gunung Batu Putih.
“Maklumat atau petunjuk baharu bukan sahaja diperoleh daripada pasukan pencari JBPM, malah turut disalurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti setempat dan individu yang terlibat dalam usaha pencarian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah di sini hari ini.
Dalam pada itu, Sabarodzi berkata mana-mana pihak termasuk malim gunung yang ingin membantu operasi pencarian perlu melaporkan diri terlebih dahulu di Balai Bomba dan Penyelamat Tapah yang kini merupakan Pusat Kawalan Bomba bagi membolehkan penyelarasan dilakukan bersama Jabatan Perhutanan.
“Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) ditutup, penglibatan beberapa agensi lain dalam operasi turut dihentikan dan kini hanya JBPM mengawal serta menyelaras sebarang aktiviti pencarian.
“Perkara ini penting kerana kawasan Gunung Batu Putih merupakan kawasan Hutan Simpanan Kekal dan tidak boleh dimasuki sewenang-wenangnya tanpa kawalan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata setakat pagi tadi, sebanyak 23 anggota terdiri daripada pasukan JBPM, Jabatan Perhutanan serta Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) telah berjaya dibawa keluar dengan selamat menggunakan pesawat Agusta AW139.
Pada masa sama, katanya satu pasukan kecil yang terdiri daripada 10 anggota iaitu lapan anggota Pasukan STORM JBPM serta dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) dihantar semula ke lokasi pencarian bagi melakukan pemeriksaan menyeluruh di satu sektor yang dikenal pasti berhampiran puncak Gunung Batu Putih.
Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua MGP memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti mendaki, bagaimanapun kerani di sebuah syarikat swasta itu dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat pada 24 Mei.
-- BERNAMA